Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada membina daya tahan ekonomi dalam menghadapi kejutan luaran yang semakin kerap berlaku, demikian menurut penganalisis.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ketua Ahli Ekonomi Negara IPPFA, Mohd Sedek Jantan, berkata keutamaan pertama ialah memperkukuh daya tahan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memandangkan PKS adalah kumpulan yang paling terdedah kepada peningkatan kos tenaga, kos logistik dan gangguan rantaian bekalan.
Beliau berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan bantuan bersasar bagi meningkatkan automasi, pendigitalan, kecekapan tenaga dan akses kepada pembiayaan supaya PKS kekal berdaya saing.
Menurutnya, keutamaan kedua ialah memperkukuh keterjaminan makanan negara berikutan risiko Super El Nino yang dijangka memuncak pada hujung tahun ini sehingga awal 2027.
“Kerajaan perlu mempercepat pelaburan dalam sistem pengairan, teknologi pertanian, pengurusan sumber air, kemudahan penyimpanan makanan dan kepelbagaian sumber import bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan serta kenaikan harga makanan,” katanya.
Belanjawan 2027 yang kini sedang giat dijalankan Kementerian Kewangan dijangka mengambil kira kesan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang berpanjangan dan impak Super El Nino yang dijangka memuncak antara November tahun ini dan Januari 2027.
Dalam keadaan geopolitik global yang semakin tidak menentu, Mohd Sedek berkata, Belanjawan 2027 bukan sekadar perlu merangsang pertumbuhan, tetapi juga meningkatkan ketahanan ekonomi Malaysia supaya negara lebih bersedia menghadapi kejutan geopolitik, perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan global.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata situasi ketegangan di Asia Barat yang membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel serta seterunya Iran sememangnya sukar untuk diselesaikan.
Beliau berkata, ia berikutan masing-masing mempunyai kepentingan geopolitik yang tersendiri dan ekosistem sentiasa dilihat sukar untuk memungkinkan proses perdamaian secara komprehensif dapat dilaksanakan.
Justeru, katanya, isu berkait rapat dengan keterjaminan tenaga dan makanan adalah dua perkara tunjang yang perlu dilihat dan dilaksanakan dengan konsisten.
“Kita tidak tahu bila situasi perdamaian benar boleh dicapai. Di samping itu, komuniti perniagaan dan pelaburan memerlukan kepastian apabila mereka membuat keputusan dan di sini dasar kerajaan amat penting bagi memastikan risiko geopolitik dapat ditangani dengan sebaiknya.
“Justeru, keterjaminan tenaga dan makanan adalah dua perkara perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 nanti,” katanya.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak pula berkata, dalam merangka Belanjawan 2027, kerajaan perlu memberi tumpuan dengan pertamanya memperkukuh daya tahan fiskal melalui subsidi bersasar dan pengurusan hutang berhemah.
Kedua, beliau menyarankan kerajaan meningkatkan keterjaminan makanan dan tenaga, termasuk pelaburan dalam sumber domestik dan tenaga boleh baharu bagi mengurangkan kebergantungan import.
“Ketiga, mempercepatkan adaptasi perubahan iklim, khususnya menghadapi impak Super El Nino yang boleh menjejaskan bekalan makanan dan air.
“Akhir sekali, pelaburan dalam modal insan dan produktiviti perlu diperkukuh supaya ekonomi lebih berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan,” katanya. – BH ONLINE




