Pilihan EditorTwo Cents

SATU PANDANGAN: AI Langkau Kemampuan Manusia

RIBUT teknologi yang melanda dunia hari ini dilihat meresahkan sebahagian besar masyarakat dunia hari ini kerana ramai yang masih lagi tidak bersedia dengan perubahan dan penggantian terhadap tugasan hakiki mereka.

Terbaharu, kecerdasan buatan (AI) yang sebelum ini hanya digambarkan dalam tayangan filem barat mula memberi kesan terhadap kehidupan dan pembangunan manusia hari ini.

Sebenarnya AI bukanlah sesuatu yang baru, sebaliknya sudah wujud sejak berpuluh tahun lalu, namun dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, tahap keupayaan teknologi itu begitu pesat dipacu oleh perkembangan teknologi pengkomputeran dan digital.

Selain itu, peningkatan keupayaan perkakasan komputer yang mampu memproses banyak data juga meningkatkan keupayaan AI.

Namun, pastinya kebergantungan kepada teknologi AI, mengakibatkan kemampuan, kehebatan dan keterampilan manusia dalam pelbagai bidang bakal terancam.

Justeru, tidak mustahil teknologi ini berkembang ke arah ‘super intelligence’ yang boleh melangkaui keupayaan manusia dalam masa akan datang’.

Menyentuh perkara itu, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan, Elektrik, Elektronik dan Sistem, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali, menjelaskan secara umum, AI akan mengambil alih sebahagian besar bidang pekerjaan dan perkara berkaitan kehidupan manusia.

 

Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali. - Foto NSTP
Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali. – Foto NSTP

 

Bagaimanapun, secara khususnya, teknologi itu akan berperanan sangat signifikan untuk sektor membabitkan tugasan rutin yang boleh dibuat secara automasi mesin tanpa memerlukan intervensi daripada manusia.

Katanya, dalam sektor pembuatan, ia menjurus kepada segmen ‘low-end value chain’ yang sebelum ini membabitkan penggunaan tenaga buruh seperti operator pengeluaran dan tugasan bernilai skil rendah.

“Penggunaan AI akan meningkat dalam sektor yang menggunakan khidmat pelanggan di mana sebahagian daripada kerja-kerja itu boleh diambil alih oleh AI yang menggunakan pemprosesan bahasa secara natural (NLP).

“Penggunaan NLP ini akan juga meliputi banyak sektor lain yang menggunakan pertuturan manusia,” katanya.

Gugat sektor pekerjaan global

Dakwaan AI boleh menggugat sektor pekerjaan global, Sawal Hamid menjelaskan, teknologi ini sememangnya sudah memberi kesan dalam beberapa sektor pekerjaan, iaitu apabila perkhidmatan skil rendah yang boleh dilakukan oleh mesin secara automatik dan bakal diambil alih oleh mesin serta AI.

Bagaimanapun, beliau berkata, sektor pekerjaan berkemahiran tinggi yang mempunyai nilai tambah akan berkembang.

“Ia bukanlah memberikan kesan buruk kepada sektor pekerjaan, tetapi merubah landskap pekerjaan. Bidang pekerjaan yang menggunakan buruh secara intensif yang melakukan kerja rutin akan digantikan dengan penggunaan robot dan AI,” katanya.

Pekerjaan berskil rendah akan terjejas

 

Sesetengah aplikasi akan mengambil data lokasi kita dan sekiranya aplikasi ini dari pihak ketiga yang tidak ketahui tahap sekuritinya, ia boleh mendedahkan lokasi kedudukan kita. - Foto hiasan
Sesetengah aplikasi akan mengambil data lokasi kita dan sekiranya aplikasi ini dari pihak ketiga yang tidak ketahui tahap sekuritinya, ia boleh mendedahkan lokasi kedudukan kita. – Foto hiasan

 

Mengulas lanjut, pakar teknologi itu menyatakan, pekerjaan berskil rendah akan tergugat apabila teknologi AI, sistem atau robot boleh diajar untuk melakukan kerja-kerja ini secara automasi dan lebih cekap.

“Keperluan tenaga buruh di bidang seperti ini akan berkurang. Sebaliknya, tenaga buruh diperlukan dengan banyak di dalam bidang pembangunan sistem automasi ini.

“Di sini akan melihat peningkatan permintaan untuk pekerjaan ‘system developer’, ‘system integrator’, ‘coders’, ‘data analytics’ dan beberapa pekerjaan berkemahiran tinggi yang lain. Oleh itu, masyarakat perlu bersedia untuk berubah ke arah pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Kebaikan dan keburukan AI

Dari segi kelebihan AI, jelas Sawal Hamid, penggunaannya boleh mengurangkan ‘human error’ yang sekali gus akan membantu mengurangkan keseluruhan kos operasi.

“Pembaharuan juga boleh dilihat di dalam sektor pendidikan di mana system atau model pembelajaran akan berubah dengan pesat kerana ilmu pengetahuan boleh didapati dengan lebih mudah, meluas dan memerlukan pendekatan berbeza berbanding corak Pendidikan konvensional.

“Pelajar akan lebih terdedah dengan input daripada luar dan global dan pelbagai bentuk bantuan melalui AI boleh didapati untuk meningkatkan pemahaman dan pengetahuan

Boleh disalah guna data peribadi

Bagaimanapun, seperti mana teknologi lain, AI juga mempunyai keburukan sekiranya digunakan untuk tujuan yang salah dan mampu memberi kesan terhadap kehidupan manusia khususnya membabitkan data peribadi.

“Sebagai contoh, data-data peribadi mudah digunakan oleh pihak ketiga untuk mengenal corak kehidupan kita. Imej atau gambar yang dimuat naik pula boleh digunakan oleh teknologi AI untuk membuat carian dan menghasilkan imej-imej rekaan yang boleh disalah guna.

“Keburukan utama AI sekiranya disalah guna adalah penggunaan data peribadi yang tidak dikawal boleh membawa kepada pelbagai penggunaan yang salah dan boleh mengganggu privasi,” katanya.

Masyarakat perlu cakna, kawal data peribadi

 

Rakyat Malaysia antara yang paling aktif menggunakan media sosial. - Foto hiasan
Rakyat Malaysia antara yang paling aktif menggunakan media sosial. – Foto hiasan

 

Umum mengetahui Malaysia merekodkan 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk negara ini.

Ini sekali gus rakyat Malaysia antara yang paling aktif menggunakan media sosial dan bilangan pengguna meningkat sebanyak dua juta atau tujuh peratus dalam tempoh setahun tahun 2020.

Justeru, untuk mengelakkan masalah atau keburukan daripada penyalahgunaan teknologi ini, Sawal Hamid, berkata rakyat perlu cakna dan memahami kepentingan mengawal data peribadi terutama ketika menggunakan aplikasi yang berhubung dengan internet.

“Kita perlu sedar apabila menggunakan aplikasi sama ada di komputer atau telefon mudah alih, kita secara tidak langsung boleh mendedahkan maklumat peribadi.

“Sebahagian besar aplikasi ada ketetapan privasi yang boleh diubah untuk mengehadkan pengambilan data. Kita perlu memahami apakah bentuk data diambil, pengeluar aplikasi itu dan adakah aplikasi itu mempunyai polisi data peribadi.

“Sesetengah aplikasi akan mengambil data lokasi kita dan sekiranya aplikasi ini dari pihak ketiga yang tidak ketahui tahap sekuritinya, ia boleh mendedahkan lokasi kedudukan kita dan membahayakan sekiranya jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Jelasnya, penggunaan perkakasan seperti kamera misalnya yang boleh mendedahkan diri kita kepada pihak ketiga

Malah, rakyat Malaysia mengetahui apakah aplikasi yang kita gunakan dan siapakah yang membangunkan aplikasi itu.

“Adakah aplikasi itu mempunyai dasar privasi dan bagaimana data kita akan digunakan oleh aplikasi itu. Sekiranya kita mempunyai keraguan terhadap penggunaan data peribadi oleh aplikasi itu, adalah lebih baik untuk kita elakkan menggunakan aplikasi itu,” katanya. – BH ONLINE

Info:

Sejarah kemunculan AI

 

    • Pada 1943, Ahli Neurofisiologi, Warren McCulloch dan ahli logik, Walter Pitts memperkenalkan idea rangkaian saraf, yang mencadangkan model teori mengenai bagaimana neuron dalam otak boleh bekerjasama melakukan pengiraan yang kompleks, menggunakan fungsi logik mudah seperti fungsi ‘AND’ dan ‘OR’.

 

    • Ujian Turing diperkenalkan pakar matematik, Alan Turing pada 1950, cara meneroka persoalan sama ada mesin boleh berfikir, sejak itu jadi konsep utama dalam pembangunan kecerdasan buatan.

 

    • Istilah ‘kecerdasan buatan’ dicipta oleh John McCarthy dan bidang AI ditubuhkan secara rasmi di Persidangan Dartmouth, pada 1956.

 

    • Program AI pertama mampu menyelesaikan masalah matematik, dipanggil Logic Theorist, dibangunkan oleh penyelidik di RAND Corporation, Allen Newell dan JC Shaw.

 

    • Pada 1997, komputer Deep Blue IBM mencipta sejarah mengalahkan juara catur dunia, Garry Kasparov dalam perlawanan enam perlawanan.

 

    • Ia mampu menilai sehingga 200 juta kedudukan sesaat, jauh lebih banyak daripada mana-mana manusia.

 

  • Bermula 2010 sehingga sekarang, kebangkitan ketara bidang AI wujud set data besar dan kuasa pengkomputeran. Ia membawa kepada pembangunan pelbagai aplikasi seperti pengecaman imej dan pertuturan, pemprosesan bahasa semula jadi dan kenderaan autonomi.

 

Pada 1997, komputer Deep Blue IBM mencipta sejarah mengalahkan juara catur dunia, Garry Kasparov dalam perlawanan enam perlawanan.
Pada 1997, komputer Deep Blue IBM mencipta sejarah mengalahkan juara catur dunia, Garry Kasparov dalam perlawanan enam perlawanan.

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close