Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia), Datuk Ng Wei Wei, sekali lagi diiktiraf sebagai antara Wanita Paling Berkuasa Asia (Most Powerful Women Asia) oleh Fortune, apabila menduduki tangga ke-85 tahun ini berbanding tempat ke-95 sebelum ini.

Pengiktirafan itu sekali gus menobatkan Wei Wei sebagai wanita Malaysia dengan kedudukan tertinggi dalam senarai tahunan berkenaan yang menghimpunkan 100 wanita berpengaruh dari 15 negara di Asia.
Fortune berkata, kedudukan berkenaan mencerminkan sumbangan berterusan beliau terhadap UOB, pelanggan dan komuniti, selain peranan dalam menyokong pertumbuhan Malaysia serta memperkukuh hubungan serantau.
“Ia adalah pengiktirafan yang cukup bermakna terhadap kepimpinan beliau yang berteraskan tujuan serta impak yang terus dibawa kepada UOB, pelanggan dan komuniti kami.
“Sumbangan beliau juga terserlah dalam usaha memacu pertumbuhan Malaysia dan hubungan serantau,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Senarai Rantau Asia Fortune, Ashleigh Nghiem, berkata kuasa perniagaan di rantau Asia Pasifik kini semakin beralih, dengan senarai tahun ini menampilkan wanita yang berada di barisan hadapan dalam menerajui perubahan berkenaan.
“Ketua Pegawai Eksekutif DBS Group, Tan Su Shan, mengekalkan kedudukan pertama manakala pengasas Lens Technology, Zhou Qunfei, mencatat lonjakan terbesar tahun ini apabila naik 25 anak tangga ke tempat ketiga.
“Sektor teknologi mendahului senarai dengan 16 wanita, mengatasi sektor perbankan yang menampilkan 14 wanita.
“Ini mencerminkan kekuatan luar biasa Asia dalam bidang perkakasan, elektronik dan pembuatan termaju, dengan mereka secara kolektif membentuk industri, syarikat dan pasaran yang pengaruhnya jauh melangkaui rantau ini,” katanya.
Menurut Ashleigh, hampir satu perempat daripada 100 wanita yang disenaraikan tahun ini adalah penyertaan baharu, mencerminkan perubahan landskap kuasa perniagaan dan kepimpinan wanita di rantau Asia Pasifik. – BH ONLINE




