Pelaksanaan adunan biodiesel B15 berjaya menjimatkan secara purata 23.62 juta liter diesel berasaskan petroleum sebulan bagi tempoh Jun hingga Ogos.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pelaksanaan itu juga membantu negara mengurangkan kebergantungan kepada bahan api petroleum, mengukuhkan keselamatan tenaga negara serta memanjangkan jangka hayat bekalan diesel sedia ada.
“Penggunaan biodiesel tempatan turut mengurangkan pendedahan negara kepada turun naik harga diesel petroleum di pasaran global, khususnya ketika berlaku ketegangan geopolitik.
“Keadaan itu berpotensi membantu kerajaan menguruskan perbelanjaan subsidi diesel dengan lebih berkesan, katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang ingin tahu sejauh manakah pelaksanaan biodiesel B15 dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada diesel petroleum yang terdedah kepada ketidaktentuan harga akibat konflik geopolitik.
Mengenai peningkatan kadar adunan biodiesel, Noraini berkata, kerajaan menuju ke arah kadar lebih tinggi, namun pelaksanaannya perlu dibuat secara berperingkat berdasarkan kesiapsiagaan, termasuk keperluan menaik taraf logistik.




