Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan hampir enam peratus setahun dalam tempoh kepimpinan Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, dari tahun 2003 hingga 2008.
Dikenali dengan gelaran ‘Mr Clean’ dan mesra dipanggil Pak Lah, Allahyarham mengemudi ekonomi negara dengan pendekatan yang sederhana, namun penuh wawasan.
Walaupun tempoh pemerintahannya agak singkat, kesan yang ditinggalkan Allahyarham terhadap landskap ekonomi negara amat ketara.
Di tengah-tengah peralihan ekonomi global, Allahyarham menumpukan kepada pembangunan berasaskan pengetahuan, inovasi dan nilai, sekali gus meletakkan asas kukuh bagi pertumbuhan masa depan yang inklusif dan mampan.
Malah, kadar inflasi juga kekal terkawal sekitar 2.8 peratus setahun, manakala kadar pengangguran sekitar 3.7 peratus pada 2008.
Pelaburan swasta meningkat pada kadar 17.1 peratus setahun daripada RM33.8 bilion kepada RM79.8 bilion, sementara eksport barangan pula mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 8.9 peratus setahun.
Jumlah dagangan negara juga melepasi paras RM1 trilion sejak 2006, satu pencapaian yang menandakan Malaysia semakin terserlah di persada ekonomi antarabangsa.
Pada tahun 2008, lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran negara mencatat RM130 bilion atau 17.5 peratus daripada KDNK, sementara defisit fiskal berjaya dikurangkan daripada lima peratus kepada 3.2 peratus.
Rizab antarabangsa juga menunjukkan peningkatan kukuh kepada RM316.8 bilion, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan.
Dalam usaha memastikan pembangunan yang lebih seimbang antara wilayah, pentadbiran Allahyarham memperkenalkan pelbagai inisiatif utama seperti pelancaran Iskandar Malaysia (Wilayah Pembangunan Selatan Johor); Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER); Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi memperkasa wilayah serta menjana peluang di kawasan bandar dan luar bandar.
Langkah dasar yang berani dan berpandangan jauh turut mewarnai pentadbiran Abdullah dengan antaranya pemansuhan tambatan ringgit kepada dolar AS, serta pelaburan dalam sektor strategik seperti bioteknologi, biofuel dan pertanian moden.
Usaha membina Malaysia sebagai hab global produk halal juga memperkukuh identiti ekonomi negara di peringkat antarabangsa.
Selain itu, keutamaan turut diberikan kepada pembangunan modal insan, transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pemerkasaan sektor awam, pencegahan rasuah, pelaksanaan tender terbuka dan urus tadbir yang lebih telus, yang mana semua itu menjadi asas kepada keyakinan rakyat serta pelabur.
Pentadbiran Abdullah turut memperkenalkan pelbagai langkah proaktif bagi merangsang sektor swasta, termasuk pengurangan cukai korporat, pelaksanaan inisiatif pembiayaan swasta (PFI), liberalisasi sektor kewangan Islam serta insentif cukai untuk pelaburan hartanah dan kemudahan pemilikan bagi warga asing.
Penggabungan konglomerat perladangan terbesar negara di bawah Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang melahirkan Sime Darby Bhd dengan modal pasaran melebihi RM65 bilion juga adalah antara legasi penting dalam memperkukuh daya saing syarikat berkaitan kerajaan di peringkat global.
Namun, tidak semua langkah popular dengan pada 4 Jun 2008, kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 78 sen kepada RM2.70 seliter, keputusan yang sukar namun perlu, demi kemampanan fiskal negara.
Meskipun berdepan cabaran, sumbangan Allahyarham dalam membina asas ekonomi yang mampan dan adil tidak wajar diketepikan.
Kepimpinan Abdullah yang berteraskan kejujuran, kesederhanaan dan komitmen kepada rakyat terus dikenang sebagai satu fasa penting dalam perjalanan pembangunan Malaysia dengan slogan ikonik ‘Cemerlang, Gemilang, Terbilang’. – BH ONLINE