GovernansMalaysiaPilihan Editor

Produk BioKenaf jana jualan lebih RM50 juta, 50 peluang kerja – Menteri KPK

Pengkomersialan produk BioKenaf hasil penyelidikan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menjana nilai jualan melebihi RM50 juta dan mewujudkan lebih 50 peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pencapaian itu membuktikan hasil penyelidikan universiti mampu diterjemahkan kepada peluang ekonomi dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Katanya, kejayaan itu turut menunjukkan potensi besar pembangunan komoditi tempatan melalui penyelidikan, penggunaan teknologi dan kerjasama strategik antara universiti dan pihak industri.

“Pencapaian ini menunjukkan bagaimana hasil penyelidikan universiti dapat membuka peluang ekonomi kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan Karnival Industri Asas Tani 2026 (AGX’26) di UMK Kampus Jeli di sini.

BioKenaf merupakan antara hasil penyelidikan UMK yang diketengahkan pada karnival itu menerusi usaha Dr Maryana Mohamad Noor, yang juga Pengarah AGX’26.

Noraini berkata, pembangunan produk berasaskan komoditi tempatan perlu terus diperkasakan bagi meningkatkan nilai tambah produk serta memperluas akses pasaran, selaras dengan matlamat Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN 2030).

Katanya, kerjasama antara penyelidik, agensi kerajaan dan pihak industri penting bagi memastikan hasil penyelidikan dapat dikomersialkan, sekali gus membuka peluang kepada pengusaha untuk menghasilkan produk baharu, mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan.

Dalam konteks pembangunan industri kenaf, beliau berkata kerjasama UMK dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mampu membantu memperkukuh penyelidikan, penanaman serta pembangunan produk hiliran berasaskan komoditi itu.

Menurutnya, kenaf mempunyai tempoh matang antara 120 dan 150 hari, dengan pengusaha berpotensi menjana pendapatan antara RM3,000 dan RM5,000 sehektar bagi setiap musim.

Katanya, LKTN turut menyediakan bimbingan teknikal dan bantuan menerusi program pembangunan kenaf, termasuk Program Ladang Kluster yang menawarkan insentif RM3,800 sehektar secara sekali bayar kepada pengusaha yang memenuhi syarat.

Noraini berkata, peningkatan permintaan terhadap produk kenaf berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada penanam untuk membekalkan bahan mentah, sekali gus membolehkan perkembangan industri hiliran menyumbang kepada peningkatan pendapatan mereka. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close