Pilihan EditorTwo Cents

Hari Kebangsaan Ke-63: Sambutan Yang Luar Daripada Kebiasaan

Oleh Shanika Abdul Latib

(Artikel ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada 31 Ogos 2020) 

 

BUAT pertama kali kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, yang sinonim dengan rakyat Malaysia berhimpun di Dataran Merdeka, akan hanya dapat dirasai melalui tontonan di kaca televisyen.

Biarpun kemeriahan sambutan dirakam lebih awal secara berasingan bagi setiap kontinjen yang dikenal pasti bertujuan mengurangkan perhimpunan ramai selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik COVID-19 dipatuhi, yang pasti ia adalah usaha luar biasa untuk meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-63.

Pun begitu, hikmah dalam keterbatasan sambutan akibat COVID-19 ini juga jelasnya membuktikan rakyat Malaysia tetap utuh mempertahankan kedaulatan dan perpaduan negara.

Malahan keutuhan semangat ‘Saya Anak Malaysia’ ini diterjemah indah melalui warna biru tua pada Jalur Gemilang yang memberi erti kesatuan hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum yang hidup dengan aman dan harmoni.

Mengenai sambutan luar biasa kali ini, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, keraian secara fizikal yang terbatas tidak seharusnya merencatkan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan kali ini yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’.

 

TERUS UTUH WALAUPUN SEDERHANA

Sambutan dalam suasana terhad ini membuktikan semangat ‘meraikan’ Hari Kebangsaan itu masih utuh. Sudah pasti, konteks sambutan kali ini sedikit berbeza memandangkan kita sedang berjuang ‘memerdekakan’ negara dari pandemik COVID-19.

“Walaupun sambutannya dalam skala kecil, ia tetap membuktikan kerajaan dan masyarakat dari pelbagai peringkat masih menghayati dan menghargai erti perjuangan merdeka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Cara menghayati kemerdekaan itu boleh dilakukan dalam pelbagai cara walaupun tanpa perhimpunan secara fizikal.

Dalam keterbatasan ini, penggunaan teknologi dan laman sosial membuka ruang seluasnya kepada rakyat Malaysia untuk meluahkan rasa sayang mereka kepada negara.

“Banyak video berdurasi pendek dirakam dan saya percaya, jika semua rakaman ini dikumpul dan dipaparkan di saluran televisyen pada malam sambutan Hari Kebangsaan, sudah pasti ia menambahkan rasa meriah sambutan pada kali ini,” jelas beliau.

 

PERJUANGAN SEMUA GENERASI

Yang menjadikan sambutan Hari Kebangsaan kali ini lebih istimewa ialah ia bukan sahaja perihal orang lama yang bergadai nyawa memerdekakan bentala bertuah ini tetapi juga perjuangan generasi kini yang membebaskan tanah air daripada serangan pandemik COVID-19.

Kalau sambutan dahulu mungkin generasi muda tidak begitu meraikannya tetapi kali ini, mereka turut menjadi sebahagian daripada perjuangan memerdekakan negara.

“Kali ini, orang muda tidak sekadar mengibarkan bendera tetapi turut ‘terbuka’ untuk bersama memeriahkan sambutan dengan cara tersendiri seperti membuat rakaman video bagi menzahirkan rasa syukur dengan kebebasan yang dikecapi mereka sekarang,” katanya.

Apa yang penting usaha kecil mereka ini perlu dihargai dan ini, jelas Zainal, akan mencambahkan rasa sayang kepada negara secara berpanjangan.

Tiada lagi sentimen kebencian kerana generasi ini, melalui usaha-usaha kecil yang dilakukan itu, akan merasa mereka adalah sebahagian erti kemerdekaan yang perlu mereka pertahankan, katanya.

 

FAHAMI KERUMITAN NEGARA 

Berkongsi pandangan, aktivis kebudayaan dan pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Malaysia (Pusaka), Eddin Khoo berpendapat semangat sebenar cintakan tanah air itu adalah apabila kita mengakui betapa ‘rumitnya’ negara ini.

“Apabila kita mengakui negara kita ini rumit, susah difahami, mempunyai sejarah yang mendalam, itu adalah semangat patriotik yang paling kukuh. Melalui kerumitan itu, ia adalah cara sebenar untuk mendalami riwayat negara dan masyarakat kita dalam menuju dan mengekalkan kemerdekaan yang dikecapi selama ini,” katanya.

Justeru, jika perarakan sambutan hari kebangsaan dikatakan pengerat silaturahim antara masyarakat majmuk di negara ini, pandangan itu seharusnya ‘diluaskan’.

“Semangat perpaduan itu bukan bertumpu pada Hari Kebangsaan sahaja. Setiap hari kena pupuk budaya persefahaman ini dan ia bukan sesuatu yang sukar untuk dilakukan kerana asas-asas perpaduan itu sudah ada dalam jiwa rakyat Malaysia,” katanya.

“Ditambah pula dengan keadaan negara yang sedang dilanda musibah pandemik COVID-19, sudah terbukti kita memang bersatu-padu,” katanya.

Bagi sambutan tahun ini, gabungan perkataan ‘Malaysia’ dan ‘Prihatin’ dipilih untuk menggambarkan seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi wabak serta kecaknaan kerajaan dengan melakukan pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat.

Logo berbentuk hati menjadi pilihan dengan warna bendera Jalur Gemilang menjadi latarnya, melambangkan keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Lebih menarik, ini adalah kali kelima logo berbentuk hati digunakan selepas 1994, 1997, 2015 dan 2016.

Sudah pasti, suntingan rakaman perarakan dan perbarisan sambutan Hari Kebangsaan menggunakan teknologi realiti gabung yang terdiri daripada realiti terimbuh dan teknologi 3D CGI (Imej Janaan Komputer) oleh RTM akan ditunggu oleh setiap masyarakat untuk merasai kemeriahan sambutan dalam normal  baharu. — BERNAMA

 

  • Penulis ialah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close