GovernansMalaysiaPilihan Editor

Ada Syarikat Dibawa Untuk MoU Bersama China Tiada ‘Track Record’ – bekas Menteri Kewangan II

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani membangkitkan persoalan mengenai status beberapa syarikat Malaysia yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat China ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu sebelum ini yang disifatkan beliau tidak mempunyai rekod pencapaian yang mencukupi.

Justeru, bekas Menteri Kewangan II itu meminta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) atau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memperjelaskan sama ada proses tapisan dilakukan terlebih dahulu terhadap semua syarikat yang terbabit dalam MoU dengan nilai keseluruhan RM170 bilion itu.

“Baru-baru ini, Perdana Menteri ada membuat lawatan ke China dengan menyaksikan 19 MoU yang ditandatangani oleh syarikat-syarikat tempatan dan juga syarikat China yang berjumlah dijangka RM170 bilion.

“Soalan saya adakah MITI atau MIDA telah melakukan tapisan syarikat-syarikat ini sebelum membawa Perdana Menteri untuk menyaksikan menandatangani MoU tersebut.

Beliau berkata demikian sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Johari pada masa sama turut meminta penjelasan daripada MITI mengenai langkah yang akan diambil untuk memastikan komitmen pelaburan dianggarkan berjumlah RM170 bilion itu dapat memberikan manfaat kepada rakyat, termasuk peluang pekerjaan.

“Saya tahu kalau ikut statistik, mana-mana pelaburan langsung asing (FDI) yang dibawa (masuk dalam negara), kita boleh realisasikan sekitar 70 peratus dan ia boleh membantu peluang pekerjaan yang sangat banyak kepada negara,” katanya.

Menjawab soalan Johari, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, berkata MoU ditandatangani itu akan dipantau jawatankuasa secara khusus, dengan MIDA juga udah melakukan proses biasa dalam menilai syarikat-syarikat itu.

“Untuk masa depan sebenarnya, kerajaan dipandu oleh dasar pelaburan baharu melibatkan lima kriteria.

“Kriteria kita menerima pelabur asing atau apa sahaja pelaburan ialah meningkatkan kemampanan ekonomi untuk menjana pekerjaan bernilai tinggi atau berpendapatan tinggi.

“Selain itu, memperluaskan rangkaian domestik dan mewujudkan kluster ekonomi baharu dan meningkatkan keterangkuman. Ini adalah ‘dashboard’ kita untuk memantau apa (pelaburan) yang kita terima,” jawabnya. – BH ONLINE

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close