Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, semua pihak perlu terus memberi tumpuan terhadap pelaksanaan pembaharuan struktur ekonomi dan meningkatkan daya saing bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara yang lebih inklusif, kukuh serta mampan.
Beliau berkata, baginda mengambil maklum keadaan ekonomi Malaysia yang berkembang pada kadar 4.2 peratus pada separuh pertama 2023, meskipun berdepan persekitaran pertumbuhan ekonomi global dan perdagangan yang lebih perlahan.
“Perkembangan ini disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh berikutan pasaran pekerja dan pendapatan yang lebih baik, selain pelaksanaan projek pelaburan baharu dan sedia ada.
Zahari berkata, Al-Sultan Abdullah semalam menerima menghadap Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dan Timbalannya, Datuk Jessica Chew Cheng Lian di Istana Negara bagi memberikan taklimat berhubung perkembangan semasa ekonomi dalam negeri.
Mengulas lanjut, katanya, baginda bersyukur dengan perkembangan inisiatif iTEKAD dalam membantu golongan rentan.
“Setakat ini, iTEKAD yang mendapat sokongan 11 institusi kewangan dan hampir 60 rakan pelaksana sudah memanfaatkan 3,000 usahawan mikro berpendapatan rendah, terutama golongan asnaf,” katanya.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah juga memberi perhatian kepada perkembangan sektor kewangan Islam yang sudah menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan perkembangan sosioekonomi negara. – BH ONLINE