Ekonomi Islam & GlobalPilihan Editor

Stesen Baharu Projek Battersea Dibuka Ke Pusat Bandar London

Battersea Power Station, yang dibangunkan oleh konsortium terdiri daripada S P Setia Bhd, Sime Darby Property Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kini dihubungkan ke pusat bandar London melalui sambungan laluan utara baharu.

Beroperasi dari Kennington ke Battersea Power Station melalui Nine Elms, sambungan laluan itu dibuka pada Isnin.

Pengerusi Battersea Project Holding Company, Datuk Ahmad Pardas Senin, berkata pelancaran sambungan laluan utara itu adalah detik bersejarah dalam sejarah pengangkutan Britain.

“Kami gembira dapat menyokong dan menyumbang kepada projek infrastruktur penting ini, yang akan meningkatkan dengan ketara hubungan antara bahagian London ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Battersea Power Station Development Company, Datuk Wong Tuck Wai, pula berkata mod pengangkutan baharu itu adalah pengubah industri untuk Battersea dan Nine Elms, menjadikan Battersea Power Station salah satu destinasi dengan akses paling baik di London

“Penyambungan laluan itu menjadikan masa perjalanan ke West End dan ke bandar menjadi kira-kira 15 minit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development, Simon Murphy berkata usaha meningkatkan hubungan dan kesalinghubungan pengangkutan ke kawasan London menjadi asas kepada pembangunan itu sejak dari awal.

“Dalam pada kami mengira detik pembukaan Power Station untuk orang ramai tahun depan, kami berharap dapat menyambut lebih ramai pengunjung yang melakukan perjalanan di laluan ‘tube’ baharu dari seberang ibu kota dan lebih jauh untuk menikmati kawasan persisiran sungai yang berkembang pesat yang kami buat di Battersea Power Station ini,” katanya.

Power Station diiktiraf di seluruh dunia sebagai ikon budaya dan seni bina dan berada di tengah-tengah satu pusat terbesar London.

Ia membabitkan transformasi bekas kawasan perindustrian seluas 16.8 hektar menjadi pusat bandar baharu yang berkembang maju di London merangkumi kediaman baharu, kedai, kafe, restoran, pejabat, ruang acara dan ruang awam lebih 7.6 hektar termasuk taman seluas 2.4 hektar.

Selepas dibuka untuk umum, Battersea Power Station yang menempatkan lebih 100 kedai, bar dan restoran serta ruang riadah dan acara termasuk ‘Chimney Lift Experience’, akan dikendalikan oleh peneraju acara global dan hiburan, IMG. – BH ONLINE/BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close