GovernansPilihan Editor

Asyraf Wajdi Mahu Jadikan Pinjaman MARA Bebas Riba

Aspek keberkatan dalam pembiayaan yang disediakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjadi fokus utama Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang dilantik sebagai pengerusi baharu agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memaklumkan, beliau akan membantu MARA beralih kepada pembiayaan yang menepati kehendak syariah, selain lebih cekap dan tidak membabitkan kos yang tinggi.

Katanya, antara pembaharuan yang akan dilakukan itu termasuklah memastikan pembiayaan MARA yang digunakan untuk penciptaan kekayaan Bumiputera, bebas riba.

Riba adalah ‘ziyadah’, ‘kenaikan’ atau ‘berlebihan’ pada perkara tertentu dan menjurus kepada suatu bentuk lebih yang tidak halal pada sesuatu kontrak seperti bayaran pinjaman yang bertambah.

“Ketika ini kaedah pembiayaan masih lagi menggunakan prinsip ‘bai al-Inah’ yang agak kontroversi dan sudah lama ditinggalkan oleh industri perbankan Islam.

“Insya-Allah dalam tempoh terdekat ini, saya sedia membantu MARA untuk beralih kepada pembiayaan yang lebih cekap, tidak membabitkan kos yang tinggi dan yang utama, menepati kehendak syariah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

‘Bai’ al-Inah’ adalah terma Arab yang merujuk kepada pembiayaan membabitkan akad jual beli yang disusuli dengan pembelian semula oleh penjual pada harga berbeza.

Dalam transaksi ini, penjual menjual aset kepada pembeli secara pembayaran tertangguh dan kemudian membelinya semula secara tunai pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan secara tertangguh.

‘Tawarruq’ pula adalah satu pengaturan pembiayaan di mana pelanggan akan menerima wang tunai di akhir pengaturan pembiayaan terbabit melalui rangkaian transaksi jualan untuk memenuhi keperluan dan kehendak mereka.

Kaedah ini terdiri daripada dua kontrak jual beli yang melibatkan dua peringkat transaksi, iaitu pembeli akan membeli aset dengan bayaran tertunda, iaitu beli secara hutang daripada penjual asal. Seterusnya, pada tahap kedua, pembeli akan menjual aset itu kepada pihak ketiga secara langsung dan tunai.

‘Murabahah’ merujuk kepada transaksi pembelian dan penjualan di mana harga kos aset dan margin keuntungan telah diketahui oleh pembeli dan dipersetujui oleh pihak yang berkontrak. Pembayaran harga jualan boleh dibuat secara penuh atau secara berperingkat.

Kaedah ‘qard al-Hasan’ adalah pinjaman ihsan, ikhlas atau tidak melibatkan faedah atau syarat tambahan pada saat pengembalian pinjaman. Peminjam boleh mengikut budi bicara membayar balik tambahan wang yang lebih banyak daripada wang dipinjam sebagai tanda berterima kasih.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bekas Ketua Pemuda UMNO itu dilantik sebagai Pengerusi MARA yang baharu, berkuat kuasa Jumaat lalu.

Pelantikan itu diumumkan sehari selepas Asyraf memuat naik kemas kini ‘resume’ di Facebook untuk ‘mencari kerja’, selepas beliau tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan UMNO kali ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi memaklumkan sektor pembangunan usahawan menjadi antara tumpuan utama dalam taklimat pertamanya sebagai Pengerusi MARA hari ini.

Katanya, ia berikutan sektor itulah yang bertanggungjawab membangunkan usahawan Bumiputera selama ini melalui pendekatan holistik, termasuk pembiayaan, latihan dan pembangunan infrastruktur perniagaan.

“Alhamdulillah, hari yang produktif dan mengujakan. Esok siri taklimat sektor dan lain-lain bahagian MARA diteruskan. Semoga MARA terus kekal menjadi agensi amanah yang membina sebuah ekosistem pembangunan sosio-ekonomi yang memberi kesan amat besar kepada rakyat,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close