Dimensi BisnesPilihan Editor

BACALAH AUTO: Nama Ativa Memikat Hati, Prestasi Ativa Memukau Sungguh !

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Siapa tu ? Nampak lain sungguh tu ?

Apa namanya ?

Wah, lain macam geleknya ?

Wow, comel sungguh !

Ok ke ni ?

Prestasi macam mana ? Jimat tak ?

Nampak anggun sekali, kecil tak kecil, besar tak besar !

Itulah kata-kata santai mereka yang mendekati ATIVA panggilan manja keluarga PERODUA  terbaharu di khalayak ramai sejak seminggu dua ini.

Ke sana, ke mari – menelusuri ke jalan-jalan negeri pantai Barat Selangor dari Bagan Lalang – Tanjung Sepat – Morib – Banting, lalu mendaki Bukit Jugra.

Bukan itu sahaja, ATIVA bukan sahaja daya penarik di bandar-bandar besar sahaja, malahan tidak kekok berada di kampung-kampung permai, desa yang nyaman lalu membelah laluan ke bendang yang menghijau sekarang di Sekinchan selain keindahan kampung di Tanjung Karang, Kuala Selangor dan Jeram.

Banyak mata yang meleret-leret ke arah ATIVA, mahu tidaknya ada yang tidak mahu memintas langsung ATIVA seakan-akan mahu seiring bersama ATIVA, mungkin kerana terlalu asyik memandang keluarga baharu PERODUA ini.

Ada yang sanggup ikut rapat-rapat, mungkin terpukau bahagian belakang ATIVA yang tidak ada pada kenderaan lain, rasanya.

Nampak gayanya rekaan gril hadapan yang lebih besar dengan padanan lampu LED bergaya manakala rekaan bonet belakang cukup menarik hampir sama dengan model Myvi baharu.

Nak ikutkan, ATIVA dihasilkan dengan dimensi 4,065 mm panjang, 1,710 mm lebar, 1,635 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,525 mm.

Kalau semua hendak tahu, ATIVA ini juga adalah model pertama di bawah rangka tindakan PERODUA Smart Build dan dibina atas platform global antara PERODUA dan Daihatsu.

Pembangunan ATIVA bermula daripada papan lukisan dengan 54 pereka dan jurutera PERODUA bekerjasama dengan Daihatsu sejak 2018 tanpa mengetepikan reka bentuk, ciri-ciri dan citarasa Malaysia yang unik.

Patutlah ATIVA ada aura yang kuat rupanya !

Lawanya memang melaram sungguh !

 

Sangat-sangat berbaloi ATIVA sebuah SUV (Sport Utility Vehicle) yang patut dimiliki setiap rakyat Malaysia. Bukan nak mengampu, tetapi ini tawaran dan pilihan yang sangat wajar…

Hendak berasa memiliki SUV, inilah kenderaan yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia dengan harga yang sangat berpatutan.

Antara RM61,500 sehingga RM72,000 bergantung pada varian sebelum insurans, apa lagi jom melawat https://www.perodua.com.my/

Sebenarnya paling ditunggu-tunggu ialah sejauh manakah tangkas dan perkasanya enjin ATIVA SUV ini.

Wartawan BACALAH AUTO telah mengujinya, berani katakan prestasi yang dipersembahkan sangat mengujakan mengikut kelas tersendiri !

Sepanjang jalan pantai Barat Selangor yang beralun-alun, prestasi enjin turbo model pertama PERODUA ATIVA ini  dilengkapi unit 1KR-VET 1.0 liter tiga silinder berkuasa 97 hp dan tork maksima 140 Nm menepati citarasa pemandu atau pemilik kenderaan ini.

 

Ketangkasan pergerakan kenderaan bagaikan meluncur yang memperlihatkan ATIVA merupakan kenderaan cas turbo pertama yang menggunakan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT) dan model pertama PERODUA yang
memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2.

Lagi menarik yang menjadi aura kuat ATIVA kepada peminatnya ialah semua teknologi ini menyumbang kepada kecekapan bahan api sehingga 18.9 km/l, menjadikannya Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) kelima PERODUA.

Tapi penulis merasakan lebih daripada itu sebenarnya kecekapan bahan api tidak kiralah perjalanan jauh apatah lagi perjalanan dalam bandar.

Ketika kereta ini dipandu di lebuh raya, “feeling” pemanduan dapat merasakan kuasa Turbo memerlukan sedikit masa untuk bertindak jika anda mula menekan pedal minyak untuk memecut dari 90-120km dengan pantas.

Bagaimanapun, ada cara lebih mudah iaitu dengan menolak kedudukan gear daripada kedudukan D kepada S (Sport) dan turunkan gear sehingga 2 kedudukan.

Ia membantu turbo bekerja lebih pantas dan nak lagi ‘power’, tekan sahaja butang POWER pada sebelah kanan stereng dan anda boleh rasa sedikit perbezaan pecutan yang lebih bertenaga.

Namun, jika anda mahu mencuba pilihan gear manual pula, boleh bermain dengan tombol gear 7 kelajuan dengan menolak kepada slot + atau – bagi tujuan untuk memotong, mendaki bukit atau menuruni bukit.

Tetapi alangkah bagusnya jika ada pedal shif dibekalkan pada stereng jadi tidak perlu satu tangan sahaja yang memegang stereng.

Sebenarnya tidak mengecewakan pun kerana aksi mendaki di Bukit Jugra, tidak merasakan beban untuk menaikinya. Sangat responsif dan bertenaga rasanya.

Satu lagi ciri yang sangat menarik pada ATIVA ialah sistem keselamatannya, di mana ia diberikan enam-beg udara standard untuk semua varian, sistem-sistem keselamatan pasif (kawalan kestabilan elektronik, ABS, EBD) dan juga sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, amaran titik buta dan sebagainya.

Bantuan Pemanduan Selamat (ASA*) 3.0 membuat kemunculan pertamanya pada ATIVA, dan ianya terdapat pada semua varian buat julung kali.

ASA 3.0 berfungsi pada kelajuan yang lebih tinggi (sehingga 120 km/j untuk kenderaan dan sehingga 60 km/j untuk pejalan kaki) berbanding sistem ASA 2.0 semasa, dan kini boleh mengesan kenderaan beroda dua serta berfungsi pada waktu malam.

Pada semua varian juga terdapat enam beg udara, lampu hadapan LED automatik dengan Auto High Beam dan Lane Departure Warning and Prevention.

Apa yang membezakan antara varian X dengan Varian H dan AV mempunyai Adaptive Driving Beam, paparan multi-info TFT tujuh-inci dan sistem infotainmen skrin sesentuh sembilan-inci dengan pengecaman suara.

Varian AV secara eksklusif mempunyai Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.

Untuk pemanduan jarak jauh, sistem Adaptive Auto Cruise sangat membantu dan penulis cukup yakin menyerahkan pemanduan secara autonomus kepada ATIVA.

Ini dapat dibuktikan apabila penulis menguji sistem amaran brek pra perlanggaran dan brek pra perlanggaran yang berfungsi dengan cemerlang.

Sistem Lane Departure Watch pula akan sentiasa memastikan penulis sentiasa menggunakan lampu isyarat apabila menukar lorong pemanduan manakala sistem RCTA akan memberikan amaran kehadiran kereta ketika mengundur dan Sistem Amaran Titik Buta memberikan amaran mengenai kehadiran motosikal atau kenderaan di sebelah kiri dan kanan pemandu.

Berani penulis BACALAH AUTO katakan, tidak rugi memiliki ATIVA kerana ia sangat menjimatkan segala-galanya ! – BACALAHMALAYSIA.MY

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close