Dimensi BisnesPilihan Editor

BACALAH AUTO: Naza Rancang Bawa Masuk EV Suzuki Ke Malaysia

Naza Eastern Motors, pengedar sah kereta Suzuki di Malaysia bercadang membawa masuk kereta elektrik (EV) Suzuki seawal separuh kedua 2025.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohamad Irwan Shahril, berkata syarikat itu sudah memberi taklimat kepada prinsipal, Suzuki Motor Corporation (SMC) berhubung insentif yang ditawarkan kerajaan ketika ini.

“Kami sudah berbincang dengan SMC berhubung insentif ditawarkan kerajaan untuk EV import sepenuhnya (CBU) yang akan berakhir 31 Disember 2025.

“Justeru, SMC memberi garis masa pada 2025 berbanding perancangan awal setahun kemudian,” katanya ketika ditemu bual oleh BH dan New Straits Times (NST) baru-baru ini.

Kereta konsep eVX akan menjadi model pertama dihasilkan daripada falsafah seni bina EV khusus pengeluar berkenaan.

Tanpa menyebut model khusus, Mohamad Irwan berkata, SMC sudah menetapkan model EV tertentu untuk diperkenalkan di Malaysia berdasarkan cadangan Naza Eastern Motors kepada SMC bagi menepati permintaan dan cita rasa pasaran tempatan.

“Kami sudah menyatakan pendirian kerajaan berhubung tempoh tamat insentif EV. Dalam masa sama, kami juga tidak mahu ketinggalan untuk menawarkan produk EV di negara ini selaras dengan komitmen syarikat pengeluar lain.

“Syarikat Jepun kurang cenderung kepada EV, sebaliknya lebih menjurus kepada enjin pembakaran dalaman (ICE) atau kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) buat masa ini,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan, SMC memperuntukkan sejumlah 440 hingga 460 unit untuk ditawarkan ke pasaran Malaysia tahun ini.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak saban tahun berbanding sekitar 243 unit tahun lalu dan 31 unit pada 2021.

“Walaupun model yang dibawa masuk ke Malaysia adalah lebih niche dan berlandaskan gaya hidup seiring cita rasa peminat kereta Suzuki, kami yakin dapat mencapai sasaran peningkatan peruntukkan jumlah kereta. Tahun depan jumlah kereta akan meningkat mencecah empat angka,” katanya.

Mengenai model baharu yang akan dibawa masuk, Mohamad Irwan berkata, Naza Eastern Motors merancang untuk memperkenalkan satu lagi model dalam masa terdekat.

“Kami akan membawa masuk model ketiga selepas Suzuki Swift Sport dan Jimny ke Malaysia pada tahun depan,” katanya.

Difahamkan, model berkenaan baru sahaja dilancarkan oleh SMC di India.

Selepas lima tahun, kereta jenama Suzuki kembali ke Malaysia pada April 2021 apabila Kumpulan Automotif NAZA dilantik sebagai pengedar utama melalui anak syarikatnya, Naza Eastern Motors.

Sejak diperkenalkan semula di Malaysia, Naza Eastern Motors mengimport dua model ikonik Suzuki ke pasaran tempatan, iaitu Swift Sport dan Jimny, yang menjadi antara model premium digemari golongan profesional dan peminat aktiviti lasak.

Mohamad Irwan berkata, Naza Eastern Motors menyatakan komitmen untuk meneruskan pembinaan reputasi kukuh jenama Suzuki di Malaysia, selain menawarkan produk berkualiti yang boleh dipercayai dan membekalkan perkhidmatan selepas jualan untuk kereta Suzuki. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close