Dimensi Bisnes

Pengilang Masih Perlu Bantuan Moratorium Pinjaman

Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berharap kerajaan dapat mempertimbang cadangan melanjutkan tempoh moratorium bagi pembayaran pinjaman dan pembiayaan ke atas perniagaan sehingga Mac 2021.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata cadangan lanjutan penangguhan bayaran selama enam bulan selepas ia tamat September 2020 disebabkan penguncupan aktiviti ekonomi di tengah-tengah pemulihan dari pandemik COVID-19.

“FMM yakin lanjutan ini akan menjadi satu kelegaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana ia memberi ruang ‘bernafas’ dan meringankan beban aliran tunai yang dihadapi mereka.

“Lanjutan sehingga Mac tahun depan dapat memberi pelepasan kewangan ketika keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, terutama syarikat dan pekerja yang kehilangan sumber pendapatan.

“Disebabkan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan mengalami penurunan pendapatan yang besar, kerugian kewangan dan menghadapi cabaran perdagangan yang teruk yang menjejaskan kemampanan perniagaan, pekerjaan dan produktiviti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Thian Lai berkata, lanjutan moratorium juga dapat memastikan pemulihan ekonomi lebih cepat selain memberi peluang kepada PKS memanfaat pelbagai inisiatif yang diperkenalkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi negara (PENJANA).

Katanya, FMM turut berharap kerajaan turut dapat memberikan tempoh moratorium selama enam bulan ke atas semua skim pembiayaan menerusi PENJANA bermula tempoh dana disalurkan kepada perniagaan.

“Kita berharap moratorium ini dilanjutkan kepada skim pembiayaan lain dalam PENJANA. Ketika ini hanya Pembiayaan Mudah Bumiputera (BRF) berjumlah RM500 juta menerima moratorium ini,” katanya.

Selain mencadangkan tempoh moratorium lebih panjang, FMM turut menggariskan beberapa cadangan tambahan untuk diperhalusi kerajaan bagi membantu perniagaan terjejas.

Thian Lai berkata, FMM juga memohon kerajaan untuk melanjutkan pengecualian duti setem ke atas semua pinjaman dan pembiayaan untuk tempoh satu tahun bermula 1 Julai hingga 30 Jun 2021.

“Pengecualian (duti setem) ketika ini hanya diberikan kepada instrumen pemindahan (pengecualian separuh) dan perjanjian pinjaman (pengecualian penuh) bagi perjanjian jual beli yang ditandatangani antara 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021,” katanya.

Beliau berkata, pengecualian duti setem juga perlu diperluaskan kepada aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) serta perjanjian usaha sama yang telah dipersetujui atau di tandatangan sebelum wabak COVID-19 tercetus atau tergantung susulan pandemik itu serta PKP.

“Beberapa dokumen telah ditandatangani sebelum krisis dan baru kini ia dimulakan. Namun ia pasti akan memakan masa yang lebih lama untuk dilaksanakan. Setakat ini projek yang berkaitan tidak dapat menikmati pengecualian cukai,” katanya. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close