Tempahan Proton e.MAS 7 PHEV, kenderaan ‘hibrid plug-in’ (PHEV) pertama Proton Holdings Bhd (PROTON) mencecah lebih 5,000 unit setakat ini, sekali gus mencerminkan peningkatan minat pengguna tempatan terhadap teknologi elektrifikasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), Zhang Qiang, berkata pencapaian itu menunjukkan tahap penerimaan pengguna yang semakin positif, khususnya dalam segmen PHEV yang dilihat lebih praktikal dan sesuai untuk pasaran Malaysia.
Katanya, peningkatan tempahan turut didorong oleh kefahaman pengguna yang semakin meluas mengenai teknologi PHEV, hasil pendedahan berterusan melalui media serta platform digital.
“Ketika ini, pengguna di Malaysia sudah mula memahami teknologi PHEV. Perkara ini dapat dilihat menerusi perbincangan di media sosial apabila orang ramai mampu berkongsi maklumat dan menjawab persoalan berkaitan teknologi itu,” katanya pada Bengkel Teknologi Proton e.MAS 7 PHEV yang diadakan di sini.
Mengulas lanjut, Qiang berkata, prestasi tempahan yang memberangsangkan itu turut mengesahkan bahawa strategi PROTON dalam memperkenalkan teknologi elektrifikasi secara berperingkat adalah tepat.
“Ia bermula dengan kenderaan hibrid elektrik (HEEV), diikuti oleh PHEV sebelum kami memperkenalkan teknologi lebih maju seperti kenderaan elektrik julat lanjutan (REEV).
“Pendekatan ini penting untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna, selain mengurangkan keperluan pendidikan pasaran secara besar-besaran sekiranya teknologi baharu diperkenalkan secara mendadak,” katanya.
Beliau berkata, pengenalan teknologi secara berfasa juga membolehkan pengguna menyesuaikan diri dengan perubahan serta memahami fungsi setiap jenis kenderaan elektrifikasi dengan lebih baik.
“Jika sesuatu teknologi baharu diperkenalkan tanpa pendedahan awal, ia memerlukan usaha pendidikan yang lebih besar. Justeru, kami sentiasa mengambil kira tahap kefahaman pengguna serta perkembangan semasa pasaran dalam menentukan hala tuju produk,” katanya.
Dalam pada itu, Qiang berkata, pemilihan PHEV sebagai fokus semasa adalah berdasarkan kesesuaiannya dengan keadaan tempatan, termasuk faktor infrastruktur serta corak penggunaan harian rakyat Malaysia.
“Secara keseluruhan, PHEV berada pada landasan yang baik di pasaran ketika ini. Namun, sama ada ia lebih sesuai berbanding teknologi lain bergantung kepada keperluan dan gaya penggunaan setiap individu,” katanya. – BH ONLINE




