Dimensi BisnesPilihan Editor

Lalamove Sasar Liputan Penghantaran Lebih Luas Di Malaysia

Lalamove merancang untuk meluaskan liputan rangkaian penghantarannya di pasaran Amerika Latin dan Asia termasuk Malaysia, tahun ini.

Syarikat teknologi yang berpangkalan di Hong Kong itu menyediakan perkhidmatan penghantaran dengan menghubungkan pengguna dengan pemandu penghantarannya pada aplikasi mudah alih dan web syarikat.

Ketua Pegawai Operasinya, Paul Loo, berkata Lalamove komited terhadap pasaran Malaysia kerana ia pasaran utama yang mana syarikat telah membuat pelaburan yang kukuh berikutan bilangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang besar di negara ini.

“Kami ingin berkembang bersama-sama dengan PKS di Malaysia dan itu dicerminkan dalam perniagaan kami kerana PKS adalah pangkalan pelanggan terbesar kami di Malaysia.

“Dengan faktor-faktor inilah, kami dapat melihat peningkatan yang besar dalam segmen penghantaran ke destinasi terakhir (last mile) dan itu adalah sesuatu yang kami percaya boleh mendorong Lalamove lebih jauh menerokai pasaran Malaysia,” tambahnya.

Beribu pejabat di Hong Kong, Lalamove mula beroperasi di Malaysia pada 2018 dan kini mempunyai lapan jenis kenderaan untuk pilihan pengguna, dengan lebih dua juta jumlah pengguna, 38,000 rakan kongsi perniagaan dan 350,000 rakan kongsi penghantaran.

“Sejak penubuhan pada 2018, kami telah melihat potensi yang baik dalam pasaran dan ini membolehkan kami menyediakan perkhidmatan penghantaran dari empat bandar ke mana-mana di Semenanjung Malaysia,” jelas beliau.

Liputan penghantaran syarikat membabitkan empat bandar utama di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Melaka.

Di peringkat global, syarikat itu kini telah menembusi 11 pasaran dan tersedia di lebih 40 bandar di seluruh dunia. Secara purata, ia berhasrat untuk melancarkan satu pasaran baharu setiap tahun.

“Dalam jangka panjang, kami berharap dapat mengembangkan operasi kami ke lebih banyak pasaran baharu, memberi perkhidmatan kepada pengguna berpotensi di bandar dan kawasan perkhidmatan baharu.

“Yang pastinya pada masa hadapan, Lalamove mahu terus menjadi rakan kongsi strategik untuk perniagaan tidak kira saiz (perniagaan) untuk menyelesaikan isu penghantaran mereka,” kata Loo.

Lalamove berjaya menggandakan hasilnya di Malaysia sejak beberapa tahun lalu dan menyatakan pihaknya optmistik namun berhati-hati untuk mengekalkan kadar pertumbuhannya tahun ini.

“Kami melihat pertumbuhan yang agak ketara kerana pada 2021, ia melonjak sementara 2022 agak perlahan,” tambahnya. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close