Dimensi BisnesPilihan Editor

KWSP Jangka Pelaburan Hartanah Mampu Jana Pulangan Mapan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangkakan pelaburannya dalam hartanah akan memberi pulangan mapan meskipun berdepan cabaran impak negatif penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias, berkata pulangan pelaburan terutama dalam hartanah berkaitan logistik adalah baik berikutan peningkatan kukuh terhadap e-dagang meskipun dalam keadaan semasa yang tidak menentu.

Beliau berkata, portfolio pelaburan hartanah KWSP di luar negara terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu bangunan pejabat, runcit dan logistik.

“Kami melihat peningkatan dalam e-dagang, jadi KWSP memasuki pelaburan logistik pada peringkat awal lagi. Sememangnya, pelaburan dalam aset berkenaan memberi pulangan yang sangat lumayan kepada kami,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Alizakri berkata, persekitaran semasa yang mencabar susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia memberi kesan terhadap pelaburan KWSP dalam hartanah komersial, terutama yang mempunyai banyak ruang runcit.

Namun, beliau berkata, ada penyewanya yang tangkas dalam mengubah strategi dan menyesuaikan diri dalam memastikan kelangsungan operasi perniagaan mereka dalam tempoh sukar itu.

“Penyewa kami di United Kingdom (UK), iaitu Tesco yang menyewa banyak ruang runcit. Mereka menyesuaikan diri dengan pantas, dengan menukar pasar raya kepada sebahagian runcit dan sebahagian lagi logistik.

“Justeru, pemilihan penyewa yang tepat penting, yang mana mereka perlu mempunyai kemampuan untuk berubah dengan pantas dan secara tidak langsung ia memanfaatkan kedua-dua pihak,” katanya.

KWSP memasuki pasaran UK pada 2010 dengan mempunyai pelbagai portfolio pelaburan termasuk projek pembangunan, runcit, penjagaan kesihatan dan logistik.

Ia memiliki aset runcit yang disewakan kepada rangkaian pasar raya Tesco, Sainsbury dan Morrisons.

Pada Mei 2019, KWSP mengesahkan pembelian hartanah logistik di Shirebrook, United Kingdom, berjumlah 120 juta pound, yang mana hartanah itu diduduki oleh Sports Direct International Plc.

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2020, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM12.16 bilion, dengan sektor hartanah dan infrastruktur menyumbang RM0.43 bilion.

Berdasarkan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP, ia memperuntukkan 54 peratus dalam instrumen pendapatan tetap, 36 peratus kepada ekuiti, 6.0 peratus kepada hartanah dan infrastruktur dan 4.0 peratus kepada instrumen pasaran wang. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close