MalaysiaPilihan Editor

BANJIR: Yayasan Sofa Santuni Mangsa Banjir Di Hulu Langat

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

Berat mata memandang berat lagi mereka yang terpaksa menerima hakikat rumah yang menjadi tempat berlindung dibadai bah besar.

Kejadian banjir besar yang melanda beberapa daerah di Selangor, pada 18 dan 19 Disember lalu, melumpuhkan kehidupan penduduk di beberapa kawasan, termasuk Hulu Langat dan Shah Alam.

Banjir kali ini amat luar biasa sehingga diibaratkan seperti tsunami melanda di beberapa tempat di Hulu Langat, tambahan pula di situ letaknya Sungai Langat.

Yayasan Sofa turut merasai kesedihan itu. Bukan sahaja beberapa warga  As Sofa terbabit, malah bangunan asrama pelajar lelaki Maahad Tahfiz al-Quran dan Qiraat As Sofa Hulu Langat turut musnah dalam kejadian itu. Kelas dan madrasah juga terkesan.

Terpanggil untuk memberikan khidmat masyarakat, Skuad Sofa Prihatin diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (Ceo) Yayasan Sofa, Ustaz Abdullah Abdol Razak bergegas ke Hulu Langat, menghulurkan bantuan keperluan asas.

Tanpa menghiraukan keadaan jalan yang rosak dan berselut, Skuad Sofa Prihatin meredah laluan demi menyampaikan bantuan dan menyatakan kebersamaan berkongsi kesedihan dengan  penduduk sekitar Hulu Langat.

Abdullah berkata, walaupun sumbangan yang diberikan tidak dapat menggembalikan apa yang musnah kerana jumlahnya bukan sedikit, namun berharap ia dapat membantu meringankan bebanan mangsa banjir.

“Terus terang saya tergamam bila melihat sendiri suasana di sekitar tempat kejadian yang tidak pernah terfikir oleh saya akan berlaku seteruk itu.

“Perasaan sedih dan pilu tidak dapat saya sembunyikan. Apatah lagi melihat asrama pelajar kami juga musnah.

“Allahuakbar….besar ujian buat mangsa banjir kali ini. Apa yang kami mampu katakan semoga mangsa banjir menerima ujian ini dengan tabah dan berharap mereka bangkit semula membina kehidupan,” katanya.

Beliau juga menyeru rakyat Malaysia tampil menghulurkan sumbangan untuk membantu meringankan bebanan mangsa banjir.

“Kita bantu orang, Allah bantu kita. Kita murahkan rezeki orang, Allah akan murahkan rezeki kita.

“Kita mudahkan urusan orang, Allah akan mudahkan urusan kita. Kita gembirakan orang, Allah gembirakan kita.

“Sumbanglah dalam bentuk apa pun yang termampu.

“Wang ringgit, bahan keperluan asas, makanan hatta tenaga kita untuk membantu membersihkan rumah mangsa banjir ini.

“Berilah sokongan moral untuk yang terkesan kerana kerugian mereka bukan sedikit.

“Ada yang rumah mereka ditenggelami air hingga ke bumbung,” katanya.

Masyarakat Malaysia juga boleh membantu mangsa banjir dengan menyalurkan sumbangan melalui Tabung Kilat – Rayuan Bantuan Banjir Yayasan Sofa.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Yayasan Sofa Negeri Sembilan 8600300235. Semoga sumbangan kita menjadi asbab kita membantu, memudahkan dan menggembirakan mereka yang dalam kesusahan.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close