Bank Islam Malaysia Bhd menggalakkan para pelanggan yang terjejas akibat COVID-19 supaya menghubunginya bagi mengatur penyelesaian terbaik memandangkan tempoh moratorium selama enam bulan dijadualkan tamat pada September.
Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Muazzam Mohamed berkata pihaknya prihatin terhadap keperluan pelanggan dan secara proaktif menyediakan pelbagai penyelesaian berdaya maju untuk membantu mereka menghadapi keadaan ekonomi tidak menentu akibat pandemik yang memberi kesan kepada perniagaan kecil dan runcit.
“Segmen tersebut juga merupakan kumpulan portfolio pembiayaan terbesar Bank Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata sepanjang enam bulan pelaksanaan moratorium, Bank Islam telah membantu lebih 394,000 pelanggan daripada segenap segmen.
Bank Islam telah memberi moratorium selama enam bulan untuk membantu pelanggan yang terjejas dan pelanggan akan membayar jumlah ansuran yang sama selepas tempoh tersebut, katanya.
“Pelan strategik telah dirangka dan Bank Islam sentiasa bersedia untuk memastikan keperluan kewangan pelanggan diberi keutamaan serta mereka bersedia untuk mencari jalan keluar daripada persekitaran yang mencabar ini.
“Apa yang perlu dilakukan hanyalah datang untuk berbincang dengan kami.” katanya.
Bagi mengemukakan sebarang pertanyaan dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai alternatif penyelesaian bayaran Bank Islam, pelanggan dinasihatkan berkunjung ke cawangan Bank Islam berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-2690 0900.– BERNAMA