Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) mencadangkan kerajaan meminda nilai ambang Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tahunan membabitkan sektor itu kepada RM1.5 juta atau jumlah yang bersesuaian melalui Belanjawan 2025.
Presidennya, Dr Sri Ganesh Michiel, berkata hingga kini nilai ambang SST ditetapkan adalah RM500,000 yang mana ia membebankan pengusaha hotel kecil dan sederhana.
“Penyesuaian ini akan mengurangkan tekanan kewangan ke atas pengusaha kecil dan sederhana serta membolehkan mereka melabur semula dalam perniagaan mereka.
“Ia penting dalam usaha meningkatkan pengalaman pelancong, dan menyumbang dengan lebih efektif kepada industri pelancongan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Belanjawan 2025 akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Parlimen, Jumaat ini.
Adalah penting untuk kerajaan mempersiapkan sektor hospitaliti dan pelancongan sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) melalui peruntukan yang mencukupi selain menyelesaikan isu melanda hotel bajet di negara ini.
“Bajet yang dirancang dengan baik bukan sahaja akan meningkatkan pertumbuhan industri tetapi juga mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan global terkemuka.”
Atas dasar itu, katanya beliau mahu kerajaan memfokuskan terhadap permintaan MyBHA khususnya dalam aspek kawal selia Penginapan Sewaan Jangka Pendek (STRA) di negara ini.
Beliau berkata, pertumbuhan STRA yang tidak dikawal selia mewujudkan persaingan yang tidak seimbang serta menimbulkan ancaman signifikan kepada industri hospitaliti.
“MyBHA mendesak suatu tindakan segera diambil untuk mengawal selia dalam memastikan STRA mematuhi keperluan undang-undang, pendaftaran, pelesenan, keselamatan, kebersihan, dan percukaian yang sama seperti sebuah hotel.
“Ini akan menggalakkan persaingan adil dan melindungi kepentingan pengguna serta penyedia penginapan yang berlesen,” katanya.
Gesa kawal selia Agensi Pelancongan Dalam Talian
Sri Ganesh berkata, MyBHA juga meminta kerajaan mengawal selia Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTA) kerana terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai amalan tidak adil yang boleh merugikan pengusaha hotel.
Beliau berkata, pelaksanaan suatu undang-undang untuk mengawal selia OTA itu akan menggalakkan ketelusan, memastikan perjanjian dan persefahaman yang adil, selain melindungi pengguna dan penyedia perkhidmatan daripada amalan bersifat eksploitasi. – BH ONLINE