Seorang wanita di Bandung, Indonesia turut menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh sesiapa yang mahu membeli rumahnya bernilai Rp250 juta (RM70,778).
Detik News melaporkan, Ayu Novi Astianah, 31, seorang ibu tunggal dengan dua anak, mengambil keputusan itu bagi menyelesaikan masalah kewangannya untuk mendapatkan modal perniagaan dan menyara keluarga.
“Saya tidak mahu melakukan pinjaman bank kerana bimbang akan membebankan,” katanya yang baru berpisah dengan suaminya Mei lalu.
Beliau mengakui pada awalnya memang berasa malu kerana menawarkan iklan seperti, ‘beli rumah dapat seorang janda’.
“Pada mulanya saya malu tetapi saya tiada pilihan lain, saya perlu menjual rumah ini dengan cepat, lagipun saya bukan lakukan jenayah,” katanya.
Selepas beberapa jam iklan itu dimuat naik di laman sosial, ia menjadi tular termasuk di beberapa kumpulan di WhatsApp.
“Saya terima banyak tawaran, namun berharap lelaki itu mesti berpengetahuan agama dan akhlaknya baik dengan harapan dia dapat membimbing saya serta anak-anak.
“Jika rumah ini terjual, saya akan berpindah ke rumah keluarga bersama anak, Saqila Ayu Ramadhani, 12 dan Alzena Shanum Fasya, 3,” katanya. – AGENSI