Malaysia

RAKYAT SABAH MEMILIH: UMNO Sabah Belum Selesai Agih Kerusi

 UMNO Sabah akan menyelesaikan soal agihan kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) bersama rakan parti lain sebelum akhir bulan ini.

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenai agihan kerusi kerana masih dalam perbincangan dengan semua parti yang terbabit.

“Agihan kerusi di antara parti belum muktamad tetapi ia sedang dirunding dan tarikh akhirnya ialah sebelum akhir bulan ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas UMNO Sabah, di sini, hari ini.

Bagi Barisan Nasional (BN), Bung Moktar berkata, soal agihan kerusi juga akan dibincangkan sesama parti dalam komponen itu iaitu dengan MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Katanya, pihaknya juga sudah memutuskan mereka akan menggunakan lambang BN untuk bertanding pada PRN bulan hadapan.

Mengenai calon yang akan dipilih, beliau memberi jaminan calon UMNO adalah berwibawa, memiliki keikhlasan dan kesetiaan serta tidak akan melompat parti jika menang.

Sementara itu, katanya UMNO Sabah akan memperbaiki masalah yang timbul berikutan tindakan Ketua UMNO Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mempertikai pelantikan beliau sebagai Pengarah Pilihan Raya BN.

Beliau mengakui masalah itu sedikit sebanyak menjejaskan kedudukan UMNO menghadapi PRN, namun ia boleh ditangani secara baik.

Bung Moktar yang dilantik bagi memegang jawatan berkenaan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini turut menjelaskan tidak terkesan dengan tindakan Abdul Rahman itu.

“Kita hormati kepelbagaian pendapat, ‘no hard feeling’. Apa yang lebih penting ialah persediaan untuk menghadapi PRN.

“Masalah ini tidak dinafikan menjejaskan kita tapi kita akan baiki, buat tinjauan dan InsyaAllah ia tidak buat gangguan besar terhadap kempen kita,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengadakan sidang media bersama 12 pemimpin UMNO negeri bagi menyatakan bantahan terhadap pelantikan Bung Moktar yang disifatkan sebagai tidak sesuai kerana beliau masih berdepan kes mahkamah.

Bung Moktar berkata, beliau kini hanya mahu menumpukan usaha memantapkan jentera parti di semua bahagian UMNO di Sabah bagi memenangi PRN.

“UMNO ini bersistem, dua tiga orang tidak setuju tidak apa kerana kita hormati kepelbagaian pandangan. Selaku ketua, fokus kita ialah jentera parti,” katanya.

Katanya, walaupun ada pemimpin yang tidak sehaluan, akan ada pengganti yang boleh mengambil alih tugas menggerakkan jentera di bahagian yang terbabit termasuk di Tuaran yang diketuai Abdul Rahman. – BERITA HARIAN

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close