MalaysiaPilihan Editor

Bulan Kesedaran OKU Perak perlu jadi momentum perkasa komuniti secara berterusan

oleh Bazli Razak

Bulan Kesedaran Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Perak 2026 perlu dijadikan momentum untuk memperkukuh kesedaran, memperluas peluang dan memperkasa komuniti OKU secara berterusan, bukan sekadar acara tahunan.

Isteri kepada Menteri Besar Perak merangkap Yang Dipertua Baiduri Perak Datin Seri Aezer Zubin berkata usaha memperkasa golongan itu perlu melihat kepada potensi, kebolehan, bakat, daya juang dan sumbangan mereka kepada keluarga, masyarakat serta negeri.

Beliau berkata perbezaan keupayaan tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang OKU diketepikan, sebaliknya masyarakat perlu membina persekitaran yang lebih prihatin, memahami keperluan serta menghormati hak mereka.

“Dalam kehidupan bermasyarakat, perbezaan keupayaan tidak seharusnya menjadi sebab seseorang itu diketepikan. Sebaliknya, perbezaan inilah yang sepatutnya mengajar kita untuk membina sebuah masyarakat yang lebih prihatin, lebih memahami keperluan mereka, menghormati hak mereka, menyediakan ruang dan peluang untuk mereka menikmati hidup seperti orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Bulan Kesedaran Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Perak Tahun 2026 di Dewan Bankuet, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, pada 8 Oktober 2026.

Datin Seri Aezer berkata akses golongan OKU kepada pendidikan, latihan kemahiran, peluang pekerjaan, keusahawanan, aktiviti sosial, sukan dan kesenian perlu terus diperluas, selain sokongan sewajarnya diberikan kepada keluarga serta penjaga mereka.

Katanya, ibu bapa dan penjaga memainkan peranan penting sebagai sumber kekuatan kepada anak-anak OKU dan perlu diberikan ruang serta keyakinan untuk membantu mereka membina kehidupan yang lebih berdikari.

“Jangan melihat kekurangan sebagai penghalang kepada masa depan mereka. Berikan mereka peluang untuk mencuba, ruang untuk belajar dan keyakinan untuk berdikari.

Beliau turut menyeru komuniti OKU di Perak supaya terus melangkah, berkarya, belajar dan mencuba tanpa membiarkan pandangan orang lain menentukan sejauh mana kemampuan mereka.

“Anda bukan sekadar sebahagian daripada masyarakat. Anda adalah sebahagian daripada kekuatan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pendaftar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Helmi Zaifura Abdul Rahman berkata penganjuran Bulan Kesedaran OKU tahun ini berlangsung lebih sebulan, bermula 1 Oktober hingga 6 November, dengan pelbagai program yang memberi penekanan kepada penglibatan langsung komuniti OKU.

Beliau berkata penganjuran bersama antara Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) dan Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE) UPSI itu turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Antara pengisian yang dianjurkan termasuk pertandingan trivia OKU-Thon, pertandingan pidato mahasiswa OKU, pertandingan bercerita bahasa isyarat serta pertandingan TikTok Kesedaran yang bertujuan menyebarkan mesej kesedaran mengenai kemudahan dan keperluan OKU kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri Perak Datuk Salbiah Mohamed berkata kerajaan negeri terus menggerakkan agenda OKU melalui penyelarasan pelbagai pihak, termasuk menerusi Majlis Tindakan OKU Negeri Perak dan jawatankuasa kerjanya bagi memastikan isu serta keperluan komuniti berkenaan dapat dibincangkan secara lebih tersusun. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close