Dimensi BisnesPilihan Editor

Inovator Iklim dan Pelajar Cemerlang Generasi Baha Diiktiraf di Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge

Berikutan isu perubahan iklim yang merupakan bahaya global kepada kemanusiaan, Cambridge International buat pertama kalinya meraikan generasi seterusnya innovator iklim Malaysia dengan Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge untuk Tindakan Menangani Perubahan Iklim.

Anugerah tersebut akan disampaikan semasa majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge, yang meraikan para pelajar yang telah mendapat keputusan cemerlang semasa siri peperiksaan pada Jun 2022.

Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge untuk Tindakan Menangani Perubahan Iklim merupakan sebuah pertandingan baharu yang julung-julung kalinya diadakan untuk memberikan para pelajar Cambridge peluang untuk membentangkan inisiatif-inisiatif mereka dalam tindakan iklim serta menangani salah satu daripada krisis kemanusiaan yang paling teruk di dunia.

Para pelajar mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut dengan menghantar sebuah video dan penyertaan bertulis yang menerangkan tindakan yang telah mereka lakukan untuk menangani masalah iklim.

Video-video yang dihasilkan oleh para pemenang akan dimainkan di beberapa platform Cambridge International dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan para pelajar Cambridge mengenai kepentingan menangani isu perubahan iklim.

Kanjna Paranthaman, Pengarah Serantau Asia Tenggara & Pasifik, Cambridge International, berkata: “Majlis penyampaian anugerah tahun ini merupakan sesuatu yang istimewa kerana kami tidak hanya meraikan kecemerlangan akademik, malah Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge untuk Tindakan Menangani Perubahan Iklim untuk pertama kalinya.

“Berdasarkan situasi iklim terkini di Malaysia, kini merupakan saat kritikal untuk generasi muda kita melibatkan diri dalam tindakan iklim.

“Kami percaya bahawa advokasi awal akan dapat memupuk sebuah generasi yang lebih cakna isu alam sekitar dan bersama dengan Cambridge International, kami berharap dapat menggalakkan mereka untuk meninggalkan kesan positif yang berpanjangan di planet Bumi.”

Ng Kim Huat, Pengarah Negara, Malaysia dan Brunei, Cambridge International, turut bersetuju dengan pendapat Kanjna dan menambah: “Sungguh menggembirakan melihat generasi muda mengambil peranan yang lebih aktif dalam menangani perubahan iklim. Diharapkan bahawa segala usaha yang ditunjukkan hari ini akan memberi inspirasi dan motivasi untuk penetapan minda yang lebih baik untuk mereka yang akan datang.

Kita juga perlu meraikan para pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan akademik mereka ketika siri peperiksaan Jun 2022 tempoh hari.

“Usaha mereka dalam mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran layak mendapat pujian.

“Kami berharap untuk melihat kecemerlangan akademik yang berterusan dalam kalangan para pelajar Cambridge IGCSE dan Cambridge International AS & A Level, kerana merekalah yang kita harapkan dapat memimpin dalam usaha memajukan negara kita pada tahun-tahun mendatang.”

Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge 2022 menyaksikan 200 pelajar daripada 64 sekolah menerima pengiktirafan Terbaik Antara Tiga Mata Pelajaran Cambridge International A Level, Terbaik Antara Empat Mata Pelajaran Cambridge International AS Level, Terbaik Antara Lapan Mata Pelajaran Cambridge IGCSE, Anugerah Pencapaian Tinggi (High Achievement Award), Terbaik di Dunia (Top in the World) dan Terbaik di Malaysia (Top in Malaysia).

Beberapa pelajar cemerlang telah memenangi lebih daripada satu anugerah semasa majlis tersebut; mereka adalah:

Thang Wan Er kelayakan Cambridge IGCSE dari Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International), telah memenangi Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge untuk Tindakan Menangani Perubahan Iklim serta Foreign Language, Malay Terbaik di Malaysia.

Chaang Tze Shen Tristan kelayakan Cambridge International AS Level dari Sunway College dan telah mendapat tempat pertama di Malaysia yang mana terbaik antara empat mata pelajaran Cambridge International AS Level.

Ng Wai Hoe kelayakan Cambridge International A Level dari Sunway College telah mendapat tempat pertama di Malaysia dari yang terbaik antara tiga mata pelajaran Cambridge International A Level.

Sementara Shania Teh Yi Xuan berkelayakan Cambridge IGCSE dari Regent International School, Kedah telah memperoleh tempat pertama di Malaysia yang mana terbaik antara lapan mata pelajaran Cambridge IGCSE.

Thang Wan Er dan ahli kumpulannya Ayden Lew Ju Rey, Danielle Chang Keen Yee, dan Kenji Tai telah memenangi Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge untuk Tindakan Menangani Perubahan Iklim melalui penyertaan mereka yang berkisar tentang pengkomposan.

Kata Wan Er, “Perubahan iklim sudah lama menjadi kebimbangan sejak kecil, dan hari ini, ia merupakan antara isu utama dunia. Oleh itulah amat penting untuk kita memainkan peranan dan memberi sumbangan positif dalam menangani isu perubahan iklim.

“Hal inilah yang menggerakkan pasukan saya daripada Wesley Methodist School Kuala Lumpur untuk menghasilkan idea yang menakjubkan untuk fokus kepada pengkomposan. Kami membuat keputusan untuk menggunakannya sebagai idea asas kami dan membangunkannya agar ia boleh memberi faedah kepada masyarakat di sekitar kami.”

Wan Er, yang juga merupakan penerima anugerah “Terbaik di Malaysia” untuk mata pelajaran IGCSE Foreign Language Malay menambah, “Di rumah, pencapaian adik-beradik saya menjadi penanda aras akademik yang tinggi untuk saya, yang seterusnya telah memberikan saya motivasi untuk bekerja dengan lebih keras agar saya mampu setanding dengan pencapaian mereka.

“Pengiktirafan akademik melalui anugerah Terbaik di Malaysia ini meletakkan saya di landasan yang akan membuatkan saya lebih bersemangat untuk meningkatkan usaha dan terus cemerlang dalam pelajaran.”

Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge, sila layari https://www.cambridgeinternational.org, dan www.cambridgeinternational.org/action-for-climate-change untuk maklumat lanjut berkenaan Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge untuk Tindakan Menangani Perubahan Iklim. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close