Kedai RuncitPilihan Editor

Dari Ketua Jurugambar Menjadi Peniaga Kacang Pool Di Segi Tiga Emas KL

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Jiwa berniaga memang ada sejak kecil tetapi dek minat dengan seni dunia foto, maka dipendamkan seketika.

Ke sana ke mari merakamkan peristiwa manusia secara harian termasuk mengambil gambar hartawan, usahawan, peniaga, penjaja dan penjual sejak lebih 20 tahun lalu yang melihat kejayaan demi kejayaan mereka.

Tidak kiralah bisnes apa yang diceburi, namun tersemat di hati bekas ketua jurugambar untuk mengambil keputusan yang drastik suatu hari nanti.

Itulah Saiful Hizam Mansor, berusia lewat 40-an,  yang sebenarnya mengambil beberapa kursus jangka pendek berkaitan cara mengendalikan gerai makanan, kulinari, penyediaan sajian dan bisnes F&B secara sambil-sambilan mula memberi inspirasi untuk memulakan perniagaan makanan.

Dulu saya bekerja dekat akhbar The Sun sehingga dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Jurugambar dan kemudiannya sebagai Ketua Jurugambar dan Photo Editor  di Focus Malaysia antara tahun 2012-2019.

“Allah SWT itu Maha Mengatur dan Maha Mengetahui…sebenarnya saya sudah mula berniaga sejak dua tiga tahun lalu di Johor Bahru.

“Macam-macam saya buat bersama isteri dan anak-anak seperti membuat roti,  nasi Arab, nasi beriani, kacang pool dan kuih muih.

“Secara berskala sederhana sahaja namun kita berasakan sangat puas kerana pulangannya setimpal dengan apa yang kita usahakan.

“Penatlah juga… tapi memang betul bahawa 9/10 punca rezeki adalah datang dari apa yang kita usahakan atau niagakan,” katanya ketika ditemui baharu-baharu ini.

Paling istimewa yang menjadi tarikan gerainya terletak di Jalan P Ramlee BSN Food Court, betul-betul bersebelahan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) adalah sajian Bob’s Kacang Pool yang pasti mengiurkan peminatnya.

Keenakan rasa kacang pool pastinya menggiurkan terutama pabila tengok telur goyang di atas kuah yang dimasak dengan daging cincang.

Ditambah pula resepi tersendiri yang terdiri dengan hirisan bawang, lada benggala dan limau memercikkan aroma yang mengasyikkan.

“Tidak ramai yang mengetahui akan kacang pool ini rupa-rupanya.

“Tetapi apabila dicuba sekali, ada pelanggan dah “repeat” enam tujuh kali,” ujar Saiful yang tergelak kecil melihat telatah pelanggannya.

Dia juga memberitahu walaupun kesedapan kacang pool sememangnya terletak pada kuah pool itu, namun satu lagi keistimewaan kacang pool beliau ialah roti bakar yang wangi dan sangat lembut.

“Ini satu lagi kualiti yang saya jaga kerana adunan tepung roti yang khas ini menjadikan ciri penting untuk menikmati kacang pool saya ini yang dipesan khas dari Semenyih.

“Marilah cuba,” kata Saiful kepada penulis dan sememangnya benar apa yang dikatakan, sangat lembut dan terasa dengan kunyahan yang dicicah dengan kuah kacang pool.

Ini antara sebab kenapa semua kena cuba Bob’s Kacang Pool:

1. Sarapan pagi yang lengkap dan sempurna
2. Goyangan telur yang menggiurkan
3. Makan satu tak puas
4. Gabungan kuah kacang dan daging yang terbaik antara yang terbaik
5. Resipi kuah yang unik dan istimewa
6. Tidak menggunakan sebarang garam, gula atau MSG
7. Roti yang diadun tepung khas dan tebal bakar yang memang kena dengan kuah
8. Perahan limau menambah rasa masam yang sedap

Di samping kacang pool, Saiful yang turut dibantu isteri dan ahli-ahli keluarga lain turut menjual nasi berlauk Kampung Air Dingin yang didatangkan khas terus dari ORI DARI KELANTAN.

Nampak gayanya, bukan sahaja peminat dari selatan tanah air sahaja, malahan peminat makanan dari pantai timur juga berpusu-pusu ke gerai bekas ketua jurugambar ini.

Di kala waktu pandemik COVID-19 ini, perniagaannya walaupun nampak terjejas namun platform tempahan secara online dan whatapps turut memberi pulangan yang sangat baik.

“Yang penting kita usahakan dan jangan berputus asa,” kata Saiful yang juga memaklumkan selepas ini, penulis kena mencuba char kuey teow pula. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close