Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini mengingatkan ahli Jemaah Menteri supaya menghormati institusi Parlimen dengan hadir menjawab soalan yang dikemukakan kepada kementerian yang diwakili.
Beliau berkata, Dewan Negara harus dihormati dan kehadiran seseorang menteri sangat penting dalam menjelaskan sesuatu persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Negara.
“Tak kan lah tempat ini rendah sangat untuk menteri datang. Ini dewan tertinggi Parlimen,” katanya ketika Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, sedang menjawab pertanyaan pada sesi jawab lisan di Dewan Negara di sini hari ini.
Wan Junaidi turut menegur Khairul Firdaus yang tidak menjawab soalan sebagaimana yang diajukan kepada kementerian itu.
“Yang Berhormat (Khairul Firdaus) jawab banyak pasal hal produk pelancongan (sahaja), yang ditanya di (sidang) ini adalah sikap pemain industri (dan) bukan produk (sahaja)… harap kementerian (Pelancongan, Seni dan Budaya) buat betul-betul jawapan itu,” katanya. – BERNAMA