GovernansMalaysiaPilihan Editor

Ekonomi Gig Untuk Pesara Tentera

Kementerian Pertahanan melancarkan program Kerjaya Ekonomi Gig untuk Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi pesara tentera di negara ini.

Program itu membabitkan rakan strategik iaitu sebuah syarikat keselamatan, Code 7 Tech Sdn Bhd (Code 7) dan dijangka akan memanfaatkan lebih 128,000 veteran, yang berusia 60 tahun ke bawah.

Timbalan Menteri Pertahan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata konsep gig yang diamalkan secara meluas di negara ini boleh dimanfaatkan kepada veteran ATM melalui inisiatif dan kepakaran yang sedia dimiliki.

Katanya, melalui kerjasama strategi bersama Code 7, veteran akan ditawarkan tangga gaji yang lebih menarik, selain masa yang lebih fleksibel.

“Ini juga membuka peluang kepada mereka yang terkesan dengan pasca pandemik COVID-19 untuk menambah pendapatan,” katanya selepas melancarkan program itu, hari ini.

Mengulas mengenai tangga gaji, Ikmal Hisham berkata, pesara tentera akan memperoleh manfaat gaji sebanyak RM7.80 sejam serta dibayar setiap dua minggu sekali.

“Mengenai skop kerja pula, kebanyakannya membabitkan sektor keselamatan dan perkhidmatan mereka akan diperoleh oleh orang awam apabila melanggan melalui aplikasi yang disediakan.

“Sebagai contoh, jika ada pelanggan yang mahu menggunakan perkhidmatan veteran seperti mengawal atau memeriksa kediaman, veteran ini akan sampai dan menerima bayaran atas perkhidmatan mereka,” katanya.

Kata beliau, sehingga kini, seramai 204,156 orang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dengan 104,845 berpencen, manakala 73,835 adalah veteran tidak berpencen.

Bekas kor perkhidmatan, Rogayah Ghazali, 62, berkata beliau sememangnya ternanti-nantikan program yang boleh memberi manfaat kepada semua veteran terutamanya ketika berdepan dengan pasca pandemik COVID-19.

“Semua pihak berdepan dengan kegusaran apabila pandemik ini melanda dan sekiranya ada program membabitkan penambahan pendapatan seperti inisiatif baharu ATM ini, ia membuka peluang kepada ramai pesara seperti kami,” katanya.

Bekas jurulatih ATM, K Silvadanan, berkata inisiatif baharu yang dianjurkan oleh ATM sememangnya baik, namun terdapat had umur tertentu bagi veteran yang layak.

“Kita semua mahu menyertai ekonomi gig ini tetapi mereka yang melebihi usia 60 tahun difahamkan tidak akan terbabit. Sebenarnya, kebanyakan daripada kami masih lagi sihat dan boleh berkhidmat jika diberikan peluang,” katanya.

Bekas anggota logistik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), M.Chandra, 69, berkata beliau masih mampu memberi perkhidmatan berkaitan keselamatan seperti menjadi pengawal.

“Kita sentiasa didedahkan dengan pelbagai urusan keselamatan ketika berkhidmat dan sudah tentu kelebihan ini berguna jika diberi peluang untuk berada dalam ekonomi gig,” katanya.  – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close