Hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga, selebriti Fazura dan Fattah Amin dikurniakan cahaya mata puteri hari ini.
Tidak memberikan butiran lanjut, pasangan popular ini memohon masa tujuh hari sebelum mendedahkan wajah puteri sulung mereka.
“Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah. Kiriman agung pertama kami selamat dilahirkan pada Jumaat yang mulia ini.
“Cahaya mata perempuan yang sihat dan sempurna ini sangat membahagiakan kami berdua dan keluarga.
“Di sini kami ingin memohon sedikit masa bagi merahsiakan nama dan wajah anakanda tersayang sehingga selepas tujuh hari selaras dengan sunnah Rasulullah.
“Terima kasih kami ucapkan buat anda semua dikasihi, yang tidak henti-henti mendoakan kami bertiga sejak awal sehingga Fazura selamat melahirkan,” kata Fattah di Instagram.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada November 2017 selepas digandingkan bersama dalam drama bersiri Hero Seorang Cinderella. – MALAY MAIL