MalaysiaPilihan Editor

MELAKA MEMILIH: Manifesto BN Komprehensif, Inklusif, Pragmatik – Pemimpin Tempatan

Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dilancarkan hari ini dilihat sebagai komprehensif, pragmatik dan inklusif ke arah memacu pemulihan ekonomi dan pembangunan Melaka menuju ke fasa endemik COVID-19.

Pengerusi MCA Melaka yang juga Naib Presiden MCA Senator Datuk Lim Ban Hong berkata manifesto itu mengambil kira kepentingan rakyat pelbagai kaum dan peringkat umur selain menggariskan pelan pemulihan pelbagai sektor yang menyumbang kepada ekonomi negeri.

“Manifesto ini menggariskan hala tuju lima tahun Melaka pada masa akan datang dan saya boleh katakan tiada sesiapa pun rakyat atau sektor di negeri ini yang tercicir untuk menikmati tawaran yang digariskan.

“Justeru, BN adalah pilihan terbaik untuk rakyat pada PRN Melaka dan diharap semua dapat memberi peluang kepada kami untuk mentadbir dan memimpin negeri ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha BN Melaka Datuk Mustafa Musa berkata manifesto yang ditawarkan itu menjamin masa hadapan rakyat negeri itu sekali gus dapat membantu pelaksanaan agenda pembangunan ekonomi yang lebih baik dan berkesan.

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Melaka berkata BN mempunyai rekod prestasi  yang baik sepanjang mentadbir negeri ini sebelum ini dan semua tawaran yang dijanjikan menerusi manifesto itu diyakini mampu dilaksanakan secara menyeluruh.

“Manifesto ini bukan janji-janji kosong tetapi ia adalah janji yang mampu ditunaikan dalam lingkungan keupayaan kerajaan negeri BN yang bakal dibentuk nanti.

“Jadi sokonglah 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kami pertaruhkan untuk membawa kegemilangan dan kemakmuran di Melaka demi generasi muda pada masa akan datang,” katanya.

Setiausaha Bahagian MIC Jasin M Vikneswaran berkata dua daripada lima teras yang digariskan dalam Manifesto BN iaitu kestabilan politik dan kecekapan tadbir urus adalah tepat diberi perhatian dalam keadaan politik semasa negara ketika ini.

“Dua elemen ini amat penting…kalau politik negeri tidak stabil, maka kecekapan tadbir urus tidak akan dapat dicapai dan seterusnya agenda membela kebajikan rakyat juga tidak akan dapat dilaksanakan sekali gus tidak dapat memuaskan hati rakyat,” katanya.

Beliau berkata manifesto berkenaan juga dilihat tidak mengetepikan masyarakat India dan BN masih relevan serta diterima sebahagian besar masyarakat India di Melaka atas pelbagai sumbangan BN terhadap kaum itu sejak lebih 60 tahun lepas.

Manifesto BN bagi PRN Melaka bertemakan Kestabilan Demi Kemakmuran yang menggariskan lima teras dan 103 inisiatif dilancarkan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini.

Manifesto itu adalah tawaran kepada pengundi Melaka berpandukan kepada lima teras utama iaitu kestabilan politik; lonjakan ekonomi baharu; kecekapan tadbir urus; masyarakat bersatu padu serta pembangunan mampan dan perkongsian kemakmuran. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close