Harga minyak sawit mentah (MSM) akan didagangkan antara RM4,000 dan RM9,247 satu tan, 32 peratus lebih tinggi berbanding harga purata RM4,407 satu tan pada 2021 berdasarkan ramalan sembilan penceramah pada satu persidangan prospek harga minyak sawit.
CGS-CIMB Research mengekalkan penarafan neutralnya terhadap sektor perniagaan tani dan merumuskan bahawa kesemua penceramah itu meramalkan jalur dagangan harga MSM pada 2022 adalah berdasarkan pertukaran asing RM4.20/AS$1.
Firma penyelidikan itu menerusi nota penyelidikan berkata, melalui penggunaan metodologi yang sama sejak 15 tahun lalu, ia menganggarkan purata ramalan harga pada 2022 pada sekitar RM5,836 satu tan.
“Bagaimanapun, ini adalah 22 peratus lebih rendah berbanding harga semerta MSM sebanyak RM7,511 satu tan pada 10 Mac 2022.
“Kami turut memperhatikan bahawa ramalan harga median pada Persidangan dan Pameran Prospek Harga (POC) Minyak Sawit dan Laurik 2022, baru-baru ini, cenderung (walaupun tidak sentiasa) untuk merosot berbanding harga sebenar yang dicatatkan apabila harga MSM mengalami aliran penurunan dan sebaliknya,” katanya.
Semasa POC berkenaan, dua pakar berkaitan, Thomas Mielke dan Dorab Mistry berkata, meramalkan harga purata MSM pada tahun ini amat sukar berikutan situasi yang sentiasa berubah berikutan perang Russia-Ukraine (mengawal eksport minyak bunga matahari) dan dasar kerajaan.
“Kami yakin purata harga jualan MSM dijangka mencapai kemuncaknya pada suku pertama 2022 berikutan bekalan global yang terhad dan mungkin kekal tinggi pada suku kedua 2022 sebelum merosot pada separuh kedua 2022 berikutan pemulihan output bermusim (melainkan perang Russia-Ukraine berlarutan) berikutan La Nina diramalkan berakhir tidak lama lagi.
“Harga MSM hampir mencapai paras tertinggi walaupun simpanan stok Februari (1.52 juta tan) adalah 16 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas dan 20 peratus melebihi paras stok terendah dalam tempoh sedekad yang dicatatkan pada Disember 2020 iaitu 1.27 tan,” katanya menerusi nota penyelidikan.
Maybank IB berkata, pada masa ini, pasaran menentukan harga premium ketika perang Russia-Ukraine yang menghalang kemasukan dagangan minyak bunga matahari dari rantau Laut Hitam, walaupun unjuran pengeluaran MSM yang lebih baik pada suku akan datang.
“Pada masa yang sama, sekatan eksport obligasi pasaran domestik Indonesia untuk mengutamakan ketersediaan minyak masak domestik menjelang sambutan Hari Lebaran, menambah kepada risiko penawaran.
“Perang Russia-Ukraine yang berlanjutan merupakan kebimbangan utama kami kerana ia bersedia menetapkan hala tuju harga jangka pendek, andaian kes dasar semasa kami adalah damai sementara sebelum berakhirnya musim penanaman pada musim bunga bagi bunga matahari (untuk membolehkan tanaman itu ditanam).
“Masih terdapat risiko yang lebih tinggi untuk mengenakan sekatan yang lebih besar ke atas Rusia atau oleh Russia di seluruh dunia pada setiap hari, melainkan perang itu ditamatkan,” katanya.
Russia dan Ukraine menyumbang 75 peratus daripada eksport global minyak bunga matahari pada tahun pemasaran 2021 (iaitu 8.5 tan atau 8.9 peratus daripada 17 eksport minyak dan lemak global).
“Sehubungan itu, perang Russia-Ukraine yang segera ditamatkan akan membantu mengembalikan keadaan seperti biasa,” kata Maybank IB. -BERNAMA