Pilihan EditorTwo Cents

Harga Terapung Petrol Tangani Isu Penyeludupan, Ketirisan Subsidi – Penganalisis

Oleh Mohd Noor Musa

LAPORAN MIDF Research baru-baru ini menjangkakan kerajaan bakal memperkenalkan mekanisme harga terapung terurus bagi RON95 pada harga RM2.10 hingga RM2.40 seliter berikutan pelaksanaan subsidi bersasar.

Mekanisme itu dilihat bakal memberi fleksibiliti kepada pengguna untuk menikmati harga minyak lebih rendah berdasarkan kejatuhan harga minyak semasa.

Sistem apungan terurus lazim digunakan dalam persekitaran kewangan antarabangsa, dengan bank pusat berusaha mempengaruhi kadar tukaran asing negara dengan cara membeli dan menjual mata wang.

Sekiranya ia dilaksanakan, mekanisme apungan harga ini akan membantu kerajaan memenuhi sasaran defisit fiskalnya yang kini pada kadar 5.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dari sudut pengguna, melalui sistem apungan terurus, harga petrol akan turun naik berdasarkan keadaan pasaran. Apabila harga minyak global menurun, pengguna boleh menikmati harga bahan api lebih rendah. Ini membantu mengurangkan kos keseluruhan sara hidup dan perbelanjaan pengangkutan mereka.

Bagi pihak kerajaan pula, sistem apungan terurus membolehkan kerajaan mengawal tahap turun naik harga dan membantu dalam pengurusan hasil lebih baik kerana kerajaan boleh mengutip lebih banyak cukai ketika tempoh harga bahan api tinggi.

Selain itu, kerajaan boleh campur tangan ketika berlaku turun naik harga melampau untuk mengekalkan kestabilan dan mengelakkan kejutan mendadak kepada ekonomi.

Dari sudut ekonomi negara secara keseluruhan, sistem apungan terurus menggalakkan pasaran petrol lebih stabil dan boleh diramal. Ini boleh menggalakkan pelaburan dalam sektor minyak dan gas, seterusnya membawa kepada peningkatan pengeluaran dan kecekapan.

Selain itu, pasaran petrol yang stabil boleh memberi kesan positif kepada sektor lain yang bergantung pada pengangkutan seperti pertanian, pembuatan dan perdagangan.

Beberapa kajian menunjukkan penghapusan subsidi bahan api juga boleh membawa kepada kesan positif dan negatif, misalnya kepada sektor pengangkutan. Kenaikan harga bahan api ketara akan mengakibatkan kos input lebih tinggi untuk pelbagai sektor.

Sebagai contoh, peningkatan kos input ini memberi tekanan kepada industri pengangkutan, menjejaskan perbelanjaan operasinya dan berpotensi membawa kepada harga lebih tinggi untuk pengguna.

Teliti kesan pastikan rakyat tak terbeban

Kesan domino ini perlu dilihat secara teliti pihak kerajaan bagi memastikan rakyat tidak terbeban disebabkan penghapusan subsidi petrol dan impak sampingan lain kesan darinya.

Namun begitu, pemansuhan subsidi petrol juga mungkin berupaya menggalakkan penggunaan sumber bahan api alternatif seperti elektrik, gas asli atau biofuel dan penggunaan kenderaan lebih jimat bahan api atau elektrik.

Ini boleh membantu pengurangan penggunaan petrol secara beransur-ansur dan merancakkan aktiviti sektor pengangkutan yang lebih pelbagai dan mesra alam.

Namun, pemansuhan subsidi bahan api boleh menjejaskan prestasi ekonomi secara negatif, terutama kesan tidak baik kepada industri berkait rapat dengan sektor penapisan petroleum.

Ia hanya akan membawa kepada pengurangan pengeluaran dan guna tenaga dalam sektor pembuatan.

Selain itu, penghapusan subsidi bahan api secara global mempunyai implikasi terhadap pencemaran alam sekitar, pergantungan import dan kebimbangan kebajikan bagi segmen penduduk yang lebih miskin.

Bagi mengurangkan kesan buruk, dasar alternatif seperti bantuan tunai terus dan pengagihan semula penjimatan kepada sektor seperti pertanian dicadangkan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan sektor sokongan yang terjejas serta menyokong kumpulan terkesan.

Penghapusan subsidi petrol juga boleh memberi kesan kepada pasaran kerja, terutama terhadap perniagaan, perbelanjaan pengguna dan keadaan ekonomi keseluruhan.

Penghapusan subsidi petrol akan menyumbang kepada peningkatan kos operasi, inflasi dan perbelanjaan pengguna, peralihan tingkah laku pengguna serta kesan kepada perniagaan kecil dan kawasan luar bandar.

Apabila kos bahan api menjadi lebih tinggi, perniagaan bergantung pada pengangkutan, seperti logistik dan perkhidmatan penghantaran serta penyedia pengangkutan awam menghadapi peningkatan perbelanjaan operasi.

Ini boleh membawa kepada pengurangan margin keuntungan, memaksa sesetengah syarikat mengurangkan tenaga kerja, bahkan mungkin terpaksa menutup operasi mereka.

Kos pengangkutan lebih tinggi disebabkan penghapusan subsidi bahan api juga boleh menyumbang kepada inflasi. Ini boleh menyebabkan penurunan dalam perbelanjaan pengguna untuk barangan dan perkhidmatan lain, menjejaskan perniagaan merentas pelbagai sektor dan berpotensi mengakibatkan kehilangan pekerjaan.

Kos pengangkutan lebih tinggi juga berisiko memberi kesan tidak seimbang kepada perniagaan kecil dan mereka yang menetap di luar bandar. Ini kerana mereka sering bergantung pada kenderaan persendirian untuk menjalankan operasi perniagaan.

Situasi Ini boleh menyebabkan peningkatan kos perniagaan, potensi kehilangan pekerjaan dan mengurangkan aktiviti ekonomi di kawasan mereka.

Selain itu, penghapusan subsidi bahan api, mungkin menggalakkan pengguna menggunakan kenderaan lebih jimat petrol atau mod pengangkutan alternatif.

Jika ini berlaku, ia boleh menyebabkan penurunan dalam permintaan petrol, menjejaskan pekerjaan dalam industri petrol seperti pekerja stesen minyak dan kakitangan sokongan industri petrol.

Langkah bersasar ini mungkin dapat mengecualikan orang asing dan golongan kaya daripada mendapat subsidi di bawah sistem menyeluruh. Ia juga dapat mengurangkan isu penyeludupan dan ketirisan.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Malaysia sedang cuba menangani secara serius isu ketirisan subsidi diesel yang parah. Sebelum pandemik COVID-19, jumlahnya kira-kira 6.1 bilion liter, namun kini melonjak kepada 10.8 bilion liter.

Apa yang penting, apa juga langkah bakal diambil, rasionalisai subsidi bahan api mestilah pada akhirnya dapat memberi jaminan kesejahteraan hidup dan kos kehidupan rakyat.

Justeru, untuk meningkatkan kecekapan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, penjimatan daripada pemansuhan subsidi bahan api akan dilaksanakan nanti perlu diarahkan semula kepada dasar seperti pengurangan cukai jualan serta boleh diagihkan semula kepada program kebajikan sosial, khasnya penjagaan kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan sosial kepada rakyat. – BH ONLINE

  • Penulis adalah Penganalisis Penyelidikan, Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close