MalaysiaPilihan Editor

Hentikan Perdebatan Agihan Kerusi – Kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu

Pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) digesa segera menghentikan perdebatan isu pengagihan kerusi, sebaliknya bersedia akur dengan ketetapan yang akan diputuskan jawatankuasa rundingan pembahagian kerusi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Razali Idris, berkata tindakan sebahagian pimpinan tertinggi UMNO, PAS dan BERSATU yang berdebat mengenai pembahagian kerusi termasuk melalui laman sosial akan merencatkan rundingan.

Beliau berkata, semua pimpinan perlu akur dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada jawatankuasa rundingan dianggotai lima individu yang mewakili setiap parti.

“Sepatutnya semua pimpinan parti memberi mandat sepenuhnya kepada jawatankuasa rundingan pembahagian kerusi.

“Buat masa ini adalah tidak sesuai semua pimpinan parti membangkitkan isu pembahagian kerusi, sebaliknya tanggungjawab dan peranan perlu dilakukan adalah turun padang memberi penjelasan kepentingan gabungan kepada seluruh ahli parti di peringkat akar umbi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang dilaporkan berkata UMNO, PAS dan BERSATU sudah memutuskan untuk mewujudkan jawatankuasa dianggotai lima individu bagi rundingan pembahagian kerusi.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dilaporkan berkata, jawatankuasa rundingan itu ditubuhkan berikutan pimpinan utama parti mahukan pertandingan satu lawan satu dengan pembangkang, iaitu Pakatan Harapan (PH).

Razali yang juga Ketua BERSATU Bahagian Marang menjelaskan, pertikaian mengenai pembahagian kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dipersoal dan diperdebatkan termasuk melalui laman sosial bukan sahaja oleh ahli, tetapi membabitkan pemimpin utama parti di peringkat pusat dan negeri.

Katanya, pertikaian dan perdebatan mengenai pengagihan kerusi melalui laman sosial akan memburukkan keadaan dan dipolitikkan oleh Pakatan Harapan (PH).

“Pimpinan PH sudah semestinya membangkitkan itu perebutan kerusi pada kempen Pilihan Raya Negeri di Sabah,” katanya. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close