Pilihan EditorTurun Naik

Negara Memerlukan Badan Pencegahan Rasuah & Salahguna Kuasa Wibawa, Berintegriti, Berakauntabiliti & Berani – Ahli Akademik

Oleh Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Bin Nik Mahmod

 

Negara memerlukan sebuah badan pencegahan rasuah dan salahguna kuasa yang berwibawa, berintegriti, berakauntabiliti dan berani.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia ada telah melalui pelbagai proses transformasi sejak ia ditubuhkan.

Proses penambahbaikan yang berterusan khususnya mewujudkan badan-badan bebas di dalam dan di luar Parlimen untuk menjalankan proses semak dan imbang terhadap SPRM telah berjaya menaikkan imej SPRM sebagai sebuah badan bebas dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan dan parti-parti politik.

Dalam memastikan SPRM menjalankan kuasa mereka selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang, undang-undang yang mengawal selia SPRM amat jelas dalam hal-ehwal penyiasatan, kewajipan am dan khas serta ruang lingkup bidangkuasa SPRM itu sendiri.

Dengan wujudnya badan pemantau seperti yang termaktub di bawah Akta SPRM, SPRM bukan sahaja bertanggung jawab terhadap badan-badan pemantau tersebut.

Malah, seperti agensi-agensi penguatkuasa yang lain, SPRM tidak boleh lari daripada pemantauan mahkamah bagi setiap tindakan yang diambil.

Lantas, SPRM juga tertakluk kepada semakan kehakiman dan tindakan penguatkuasaan mereka juga tertakluk pemerhatian mahkamah daripada aspek undang-undang substantif dan undang-undang prosedur.

Apabila kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan menyatakan wujud pendakwaan terpilih serta SPRM dijadikan alat oleh kerajaan semasa, kenyataan tersebut perlu dilihat dengan lebih kritikal.

Berdasarkan kedudukan dan struktur SPRM, beberapa karakter yang dimiliki oleh SPRM menafikan wujud elemen pendakwaan terpilih atau pun SPRM diperalatkan oleh pihak-pihak berkepentingan.

Pertama, SPRM berdiri sebagai sebuah badan bebas yang tidak ada agenda politik dalam menyiasat kes-kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan pemimpin atau tokoh tertentu.

Undang-undang kawalselia SPRM amat jelas memastikan ia sebuah badan yang tidak terikat kepada mana-mana kepentingan.

Kedua, daripada senarai kes-kes berprofil tinggi yang dibawa oleh SPRM, jelas terbukti yang menunjukkan tokoh-tokoh politik dari kedua-dua pembangkang dan kerajaan telah disiasat semasa dalam tempoh parti mereka memerintah, termasuk Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Dato Dr Xavier Jayakumar dan Lim Guan Eng.

 

Ketiga, kes-kes yang dibawa ke mahkamah menunjukkan bahawa pertuduhan tidak diambil secara sembrono dan terburu-buru.

Misalnya kes terhadap Lim Guan Eng berkaitan dengan projek terowong di Pulau Pinang mengambil masa tempoh tiga tahun bermula 2017 dan dituduh dimahkamah pada tahun lalu.

Keempat, fungsi pendakwaan SPRM masih lagi tertakluk kepada keputusan  Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara.

Daripada amalan pendakwaan Jabatan Peguam Negara, difahamkan bahawa kes-kes hanya akan dibawa ke mahkamah jika terdapat lebih daripada 90 peratus kemungkinan sabitan dimana bukti yang diperlukan mencukupi serta proses penyiasatan yang profesional berdasarkan bukti-bukti yang ada dan tidak pernah berpandukan kepada fitnah atau tohmahan semata-mata.

Kelima, wujud sistem semak dan imbang yang mantap antara tugas siasatan yang dibuat oleh SPRM dan tugas pendakwaan oleh Pejabat Peguam Negara.

SPRM hanya terbatas kepada penyiasatan, manakala pendakwaan pula terletak di tangan Pejabat Peguam Negara, berdasarkan kepada kertas siasatan yang diberikan oleh SPRM kepada Pejabat peguam negara. Itulah pengasingan kuasa yang negara kita amalkan.

Keenam, SPRM dipantau oleh lima badan bebas yang terdiri daripada ahli-ahli professional, akademik, perniagaan dan industri dan mereka yang terkenal, berintegriti dan dihormati dalam masyarakat.

Ketujuh, undang-undang negara memastikan sesiapapun yang menghadapi pertuduhan rasuah berhak mempertahankan diri di mahkamah dan tidak seharusnya menuduh SPRM mempunyai agenda politik.

Malah, mereka yang dituduh boleh menzahirkan apa-apa bukti di mahkamah untuk menunjukkan bahawa SPRM mempunyai niat buruk (mala fide) dan tidak suci hati dalam mendakwa mereka di mahkamah.

Kelapan, sekiranya disabitkan di mahkamah mempunyai ruang untuk merayu ke mahkamah yang lebih tinggi.

Proses keadilan yang wujud di negara ini ternyata berwibawa, adil, saksama dan amat diyakini oleh semua.

Tiada siapa yang akan teraniaya dalam sistem keadilan yang mementingkan akauntabiliti, integriti dan sistem semak dan imbang yang jelas.

Dalam konteks mewujudkan suasana dan amalan integriti yang tinggi dan juga sebuah negara yang bebas dari rasuah dan salahguna kuasa, SPRM akan sentiasa melalui proses penambahbaikan berterusan untuk memastikan ia teguh sebagai benteng penghalang kepada apa jua bentuk penyelewengan di negara ini. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

  • Penulis ialah Pensyarah Jabatan Undang-Undang Sivil, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA)

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close