GovernansPilihan Editor

Iskandar Malaysia Sasar Pelaburan Terkumpul RM636 Bilion

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menetapkan sasaran pelaburan kumulatif baharu bagi Iskandar Malaysia sebanyak RM636 bilion menjelang 2030, selepas sasaran awal yang ditetapkan semasa penubuhan wilayah ekonomi itu berjaya dicapai dengan jayanya.

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Dr Badrul Hisham Kassim, berkata sejak penubuhan Iskandar Malaysia pada 2006 hingga September tahun lalu, wilayah itu merekodkan jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM409.5 bilion, melebihi sasaran awal RM383 bilion yang disasarkan IRDA berdasarkan Pelan Pembangunan Komprehensif (CDP) 2006 hingga 2025.

Beliau berkata, sasaran RM383 bilion, yang direkodkan pada Februari tahun lalu, dicapai hampir tiga tahun lebih awal daripada sasaran tempoh 19 tahun, sekali gus menunjukkan bahawa penawaran pelbagai kelebihan daya saing Iskandar Malaysia dan Malaysia, terus menarik minat pelabur dan meningkatkan keyakinan terhadap negara.

“Ini memberikan keyakinan kepada kami untuk menggandakan sasaran pelaburan kumulatif kami menjelang 2030 yang kami tetapkan dalam CDP terkini Iskandar Malaysia 2022-2030 (CDP iii).

Beliau berkata, Iskandar Malaysia merekodkan pelaburan yang dijanjikan sebanyak RM33.6 bilion dari Januari hingga September tahun lalu dengan RM11 bilion telah direalisasikan.

“Sumbangan utama adalah daripada sektor perkhidmatan perniagaan yang termasuk pelaburan dalam pusat data serantau berjumlah RM22.4 bilion dan sektor pembuatan sebanyak RM7.7 bilion,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, IRDA juga mengunjurkan kira-kira 400,000 peluang pekerjaan baharu dicipta di Iskandar Malaysia antara 2020 dan 2030, membawa kepada jumlah pekerjaan hampir 1.4 juta menjelang 2030. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close