Dimensi BisnesPilihan Editor

MSPO Beri Manfaat Masa Hadapan Kepada Pekebun, Komoditi Sawit – Pengerusi MPOB

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Sila pohon pensijilan Malaysia Sustainability Palm Oil (MSPO) atau Sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia.

Pastinya akan memberi banyak manfaat !

Galakkan ini diberikan sendiri oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kepada pekebun sawit di negara ini untuk mendapatkan pensijilan MSPO.

Pastinya akan memberi manfaat kepada lebih 400,000 pekebun kecil terutama 258,657 pekebun sawit persendirian.

Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata pihaknya amat komited dalam mendapatkan 100 peratus pengiktirafan MSPO di negara ini.

Jelasnya, fokus utama adalah kepada pekebun dalam usaha membantu mereka mendapatkan hasil buah tandan segar (BTS) yang bermutu tinggi dan secara langsung dapat meningkatkan kadar perahan minyak (OER).

“Fokus lebih tertumpu kepada pekebun-pekebun persendirian sawit kerana pemilik ladang yang berskala besar dan pihak industri mempunyai pengetahuan berkenaan MSPO dan mereka telah memohon serta telah diberi pengiktarafan sijil berbanding pekebun kecil persendirian.

“MPOB memandang serius isu pensijilan ini kerana 2.3 juta hektar daripada 5.90 juta hektar tanaman sawit dimiliki oleh pekebun kecil dan persendirian, ia meliputi 60 peratus tanah pertanian di negara ini.

“Negara pengimport memperakukan sijil MSPO dan menyatakan kesediaan membeli sawit negara dengan harga yang lebih tinggi, sekali gus akan membantu pekebun meningkatkan pendapatan hasil daripada penghasilan buah tandan segar yang bermutu dan tinggi nilainya,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Ahmad Jazlan, pensijilan ini akan memberi pengetahuan seperti amalan pertanian baik (GAP) sawit, mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan kecekapan pengurusan serta meningkatkan produktiviti dan secara langsung meningkatkan pendapatan pekebun.

“Bagi mereka yang belum memperolehi sijil MSPO, MPOB melalui 54 pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) di seluruh negara bersedia untuk membantu mendapatkan pensijilan MSPO.

“Ini merupakan inisiatif kerajaan untuk rakyat. Selain Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui MPOB sendiri telah memberi peruntukan yang cukup bagi memastikan pensijilan ini dapat disempurnakan.

“Oleh itu, pekebun-pekebun harus mengambil peluang ini bagi memastikan sijil ini mencapai sasaran 100 peratus pada tahun 2020,” katanya.

Tambahnya, peluang itu harus digunakan sebaik-baiknya, terutama dengan pengecualian 100 peratus duti eksport terhadap minyak sawit mentah, minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit diproses.

Katanya, pengecualian yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun dan akan bermula pada 1 Julai hingga 31 Disember 2020 akan memberi manfaat yang besar kepada pekebun, pemilik ladang serta pihak industri dalam usaha menambah pendapatan serta menyumbang kepada ekonomi negara.

“Masyarakat dipohon untuk membantu MPOB memberi hebahan ini kepada ahli keluarga, saudara mara serta kenalan yang terlibat dalam industri sawit negara,” katanya. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close