Governans

Program INSP MATRADE jana potensi eksport PKS RM126.42 juta

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia mencatatkan nilai potensi eksport sebanyak RM126.42 juta menerusi usaha membuka peluang dan rantaian perniagaan baharu kepada syarikat tempatan.

Pencapaian itu direkodkan melalui Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang dianjurkan bersempena pameran SEMICON Asia Tenggara 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre.

Melalui platform promosi perdagangan berkenaan, sebanyak 49 syarikat tempatan mengambil bahagian dalam 105 mesyuarat perniagaan yang dijalankan secara fizikal dan maya.

Mesyuarat itu mempertemukan pemain industri tempatan dengan 14 pembeli antarabangsa dari 12 ekonomi termasuk Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Taiwan.

Bagi memperkukuh integrasi rantaian bekalan global, MATRADE melaksanakan inisiatif itu dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia.

Pembeli antarabangsa yang terlibat merangkumi syarikat dalam segmen pembuat peranti bersepadu, rantaian nilai pembuatan termaju, penyedia pembungkusan dan pengujian semikonduktor penyumberan luar (OSAT), selain syarikat aeroangkasa dan tenaga boleh diperbaharui.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata, agensi itu memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan industri semikonduktor Malaysia di peringkat global.

“Sepanjang dekad lalu, MATRADE telah menganjurkan INSP bersempena SEMICON Asia Tenggara, berjaya menghubungkan 327 PKS dengan 51 pembeli antarabangsa dari 19 ekonomi untuk pelbagai produk dan perkhidmatan E&E, sekali gus menjana nilai jualan eksport hampir RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga penting dalam menyokong aspirasi negara untuk mencapai nilai eksport elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak RM1 trilion menjelang 2030.

Sektor E&E kekal menjadi tulang belakang eksport pembuatan negara dengan menyumbang 44.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada 2025, bernilai RM711.44 bilion.

Peranti semikonduktor, litar bersepadu (IC), transistor dan injap pula terus mendominasi eksport E&E dengan pegangan sebanyak 65.4 peratus atau bernilai RM465.62 bilion tahun lalu.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan program strategik itu bukan sahaja menjana potensi jualan eksport, malah dijangka memberi limpahan ekonomi menerusi pemindahan teknologi, pengukuhan rantaian bekalan domestik serta penciptaan peluang pekerjaan bernilai tinggi di negara ini. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close