Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali Zulfikar kembali menemui rentak kemenangan apabila menumbangkan lawan dari Maghribi, Zakaria El Jamari menerusi ‘knockout’ teknikal (TKO) dalam pusingan pertama pada aksi ONE Fight Night 35 di Stadium Lumpinee, hari ini.
Menariknya, petarung berusia 18 tahun itu hanya memerlukan dua minit dan 10 saat untuk mencatat kemenangan sulungnya bagi tahun 2025 dalam pertarungan flyweight berkenaan.
Sebaik loceng dibunyikan, Johan yang lebih mesra disapa Jojo tampil garang dan tidak menunggu lama untuk mengasak Zakaria, memaksa lawannya itu bertahan di bucu gelanggang di bawah asakan tumbukan dan tendangan bertali arus.

Kemenangan itu pasti menyuntik semangat baharu buat Jojo yang sebelum ini tewas tiga daripada empat pertarungan terakhirnya, sekali gus sedikit merencatkan misinya untuk memburu kejuaraan dunia.
Berbeza dengan aksi ketika tewas kepada Diego Paez dan Johan Estupinan di mana Jojo sering terperangkap dengan serangan balas, petarung sensasi itu mempamerkan aksi lebih tenang dan tersusun di Bangkok.
Sekali pun berterusan memberi tekanan, dia tampak tidak bertindak terburu-buru dan tidak memberi sebarang ruang kepada Zakaria untuk membalas.
Kekalahan itu pula meneruskan rekod buruk Zakaria yang turut terdesak memburu kemenangan selepas tewas dalam beberapa aksi terdahulu.
Menariknya, ini adalah kekalahan kedua berturut-turut Zakaria di tangan jaguh dari Malaysia di mana dia sebelum ini tumbang kepada seorang lagi petarung negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, pada Ogos tahun lalu. – BH ONLINE





