Kedai RuncitMalaysiaPilihan Editor

“Kartel” Dilihat Punca Utama Harga Barangan Terus Melambung Setiap Kali Perayaan Utama – Kata Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Perangi habis-habisan !

Harga melambung perlu dititiknoktahkan !

Kartel atau orang tengah punca utama harga barangan melambung !

Itulah pandangan Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara yang bertegas mahukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memerangi kartel atau orang tengah yang dilihat sebagai punca utama harga barangan terus melambung setiap kali waktu perayaan utama.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris mendesak supaya fenomena harga melambung perlu dititiknoktahkan yang rata-rata memberi kesan yang sangat buruk kepada pengguna dan peniaga.

“Sehingga pertengahan bulan Ramadan ini, ramai pengguna dan peniaga berasa sangat terkesan dan mengeluh akibat harga yang tidak masuk akal termasuk barang basah seperti sayur, udang, ikan, ayam, daging dan buah selain minyak masak dan barang makanan tin,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga menggesa pihak kementerian mengesan sindiket kartel ini yang berlaku di peringkat pengimport dan pemborong bagi barangan yang diimport sepenuhnya serta didorongi kartel domestik yang menguasai rantaian bekalan antara pemborong, pembekal dan peniaga tempatan.

“Kita memahami penentuan harga barangan bergantung kepada harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti tetapi permainan harga yang tidak munasabah dengan niat membuat keuntungan tinggi masih terus berlaku pada masa ini.

“Di manakah peranan Majlis Harga Barang Negara yang sepatutnya memberi data mutakhir bagi setiap barangan yang dijual tetapi pada harga akhir kepada pengguna itu tetap sangat tinggi.

“Pengguna mula mempersoalkan apakah fungsi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” kata Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia.

Justeru, beliau menerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara melahirkan keprihatinan yang sangat tinggi terhadap kebajikan pengguna perlu dibela, tidak dibuli dan tidak ditindas sama sekali di samping tidak menghimpitkan keresahan peniaga dan penjaja untuk menjual barangan masing-masing dengan harga yang patut.

Ketika ini, pengguna masih bergelut dengan ekonomi masa kini, terutama kelompok rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Kesejahteraan rakyat perlu dibela pada ketika pasaran domestik negara juga telah diberikan rangsangan pemulihan ekonomi oleh kerajaan sedia ada. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close