Kempen pemilihan pilihan raya Kamala Harris semalam mengumpul AS$200 juta (kira-kira RM926.8 juta) dan merekodkan pendaftaran 170,000 sukarelawan baharu dalam seminggu, sejak muncul sebagai calon presiden mewakili Parti Demokrat.
Presiden Joe Biden menamatkan bidaan pemilihan semulanya pada Ahad minggu lalu dan menyokong Harris untuk penggantinya sebagai calon menentang bekas Presiden Republikan Donald Trump pada pilihan raya 5 November depan.
“Kamala Harris sudah mengumpul AS$200 juta (kira-kira RM926.8 juta), 66 peratus daripadanya adalah daripada penderma baharu.
“Kami sudah mendaftar 170,000 sukarelawan baharu,” kata timbalan pengurus kempen Harris, Rob Flaherty, menerusi ciapan di X.
Biden menarik diri daripada saingan merebut jawatan presiden ketika timbul pertikaian mengenai umur dan kesihatannya berikutan prestasi yang goyah ketika berdebat menentang Trump pada akhir Jun.
Bagaimanapun, Biden berikrar kekal memegang jawatan sebagai presiden sehingga penggalnya berakhir pada 20 Januari 2025. – REUTERS