Ekonomi Islam & Global

Amal by Malaysia Airlines Sasar Bawa Lebih Ramai Jemaah Haji, Umrah

Unit penerbangan haji dan umrah Malaysia Aviation Group (MAG), Amal by Malaysia Airlines menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan pendapatannya kepada kumpulan antara 7.5 hingga 8.0 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor berkata peningkatan itu disokong oleh pemulihan pasaran haji dan umrah, permintaan tinggi untuk mengerjakan umrah, pembangunan kapasiti yang rancak oleh kerajaan Arab Saudi, penggunaan e-Tourist Visa serta perkembangan rangkaian syarikat yang lebih meluas.

Beliau berkata, berdasarkan prestasi pada tahun 2023 dan separuh pertama 2024, sumbangan pendapatan Amal kepada kumpulan adalah sebanyak lima peratus.

Bagi tahun sebelumnya, sumbangan pendapatan mencecah sekitar tiga hingga empat peratus berikutan pasaran haji dan umrah yang masih dalam proses pemulihan pasca pandemik COVID-19, katanya.

Muhammad Najmi berkata, Amal by Malaysia Airlines telah menerbangkan sejumlah 1.17 juta jemaah haji dan umrah sejak syarikat itu diperkenalkan pada 2019.

Bagi tempoh Januari sehingga April 2024, secara puratanya Amal by Malaysia Airlines telah membawa seramai 20,000 jemaah umrah setiap bulan dengan operasi lebih kurang tiga penerbangan sehari untuk ke Jeddah dan Madinah.

“Sasaran kita untuk masa akan datang adalah penambahan sebanyak lima hingga 10 peratus setiap tahun.

“Dari segi jangka masa panjang antara tiga hingga lima tahun, kami ingin mensasarkan penggandaan (jumlah jemaah) sebanyak dua kali ganda dari apa yang kami operasikan pada tahun ini, iaitu dari 20,000 menjadi 40,000 jemaah,” jelasnya.

Bagi musim haji 1445 Hijrah /2024, Amal by Malaysia Airlines telah menghantar sehingga 15,800 jemaah pulang ke Malaysia bagi fasa kedua yang bermula pada 24 Jun hingga 20 Julai lalu.

Dalam usaha memastikan keselesaan dan kecekapan, Amal by Malaysia Airlines mengendalikan sehingga 110 penerbangan untuk musim haji tahun ini dengan 55 penerbangan bagi setiap fasa.

Penerbangan itu menggunakan pesawat A330-300 dengan konfigurasi luas 284 tempat duduk, mengutamakan pengalaman perjalanan yang selesa untuk semua jemaah haji.

Tahun ini menandakan satu peristiwa penting apabila Amal by Malaysia Airlines menerbangkan kumpulan pertama jemaah haji Singapura ke Arab Saudi untuk menunaikan haji.

Jemaah haji terbabit merasai perkhidmatan berdedikasi Amal by Malaysia Airlines buat kali pertama, menyertai penumpang haji lain dari Australia, New Zealand, Indonesia dan Kemboja.

Muhammad Najmi berkata, Amal by Malaysia Airlines turut menerima permintaan penyediaan penerbangan untuk jemaah dari negara-negara di benua Afrika, Asia Selatan dan Asia Tengah.

Oleh kerana industri penerbangan membabitkan kawal selia yang sangat tinggi, beliau berkata Amal by Malaysia Airlines berhasrat untuk mencari jalan penyelesaian lebih efektif, kekal dan bermanfaat bagi perniagaan untuk tempoh jangka masa panjang.

“Untuk strategi ini, kami memerlukan rakan kongsi strategik. Itu salah satu langkah yang kami sedang teroka kerana pasaran sasaran kami untuk berkembang dalam jangka panjang termasuk Afrika, Asia Selatan dan Asia Tengah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Amal by Malaysia Airlines sudah berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan nasional dari negara-negara yang terlibat untuk inisiatif rangkaian operasi itu, katanya.

Muhammad Najmi berkata, Amal by Malaysia Airlines juga akan memperkenalkan pakej umrah khas yang ditawarkan kepada beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terpilih dalam usaha untuk merapatkan ukhwah.

Beliau berkata, pakej itu diwujudkan bagi menghargai rakan-rakan GLC yang selama ini telah banyak menyokong MAG ketika waktu susah dan senang.

“(Untuk ini) Amal bekerjasama dengan empat rakan strategik iaitu MKM Ticketing Travel & Tours, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd, Wira Saujana Travel & Tours Sdn Bhd dan KRS Travel Sdn Bhd.

“Jadi…kami akan melaksanakan beberapa promosi dan juga tawar diskaun harga bagi menjadikan pakej kami lebih murah berbanding dengan pakej-pakej lain sedia ada di pasaran,” katanya.

Muhammad Najmi berkata, pakej itu ditawarkan dengan diskaun harga antara lima hingga tujuh peratus.

Pakej perintis selama lapan hari tujuh malam sudah dilaksanakan dengan penerbangan pertama pada 15 Julai, membabitkan 30 orang kakitangan MAG dan ahli keluarga serta beberapa pengamal media.

Beliau berkata, pakej premium GLC itu nanti akan meliputi penerbangan pergi dan balik dikendalikan oleh Amal by Malaysia Airlines serta penginapan dilokasi tumpuan iaitu di Movenpick Hotel di Mekah dan View by Maden di Madinah, atau setaraf dengannya.

Pakej seterusnya dijangka akan dilancarkan pada bulan Ogos. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close