GovernansPilihan Editor

Komitmen Kerajaan Lonjak Harga Produk, Eksport Sawit

Komitmen berterusan kerajaan membangunkan industri sawit sebagai tonggak komoditi negara melonjakkan prestasi sektor itu dengan kenaikan harga produk dan eksport sawit bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata harga minyak sawit semasa yang berada pada paras RM2,800 satu tan membantu penanam sawit dan pekebun kecil meningkatkan pendapatan mereka.

Katanya, kenaikan harga komoditi itu dan eksport minyak sawit meningkat sebanyak enam peratus bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, menyumbang nilai eksport sebanyak RM22.57 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Pencapaian ini adalah hasil perancangan kerajaan yang disokong dengan

pembabitan pihak industri yang menggembleng usaha berterusan walaupun kita masih berada dalam cabaran menangani penularan wabak Covid-19,” katanya berucap melancarkan Program Jom MSPO di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, usaha juga sedang dipergiatkan oleh kementeriannya dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil sawit melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara untuk melaksanakan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Katanya, kesemua 43 SPOC di Johor sudah memiliki persijilan MSPO, membabitkan 19,202 pekebun kecil dengan keluasan tanaman sawit seluas 49,629.37 hektar.

“Keluasan kawasan tanaman sawit yang diusahakan oleh pekebun kecil

yang dipersijilkan MSPO adalah 23.03 peratus daripada keseluruhan 215,535 hektar tanaman sawit di negeri ini.

“Kerajaan menyediakan insentif kepada pekebun kecil persendirian melaksanakan pensijilan MSPO merangkumi yuran, latihan, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE),” katanya.

Sehingga bulan ini, seluas 5.03 juta hektar atau 85.26 peratus daripada 5.9 juta hektar tanaman sawit di seluruh negara telah memperoleh pensijilan MSPO manakala, 405 atau 89.6 peratus daripada keseluruhan 452 kilang kelapa sawit di Malaysia diperakui MSPO.

Bagi pekebun kecil persendirian, kesemua 162 SPOC di seluruh negara sudah mendapat pensijilan MSPO membabitkan 63,480 pekebun kecil persendirian dengan keluasan 237,876 hektar (24.12 peratus).

Bagi pekebun kecil tersusun di bawah kelolaan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, seramai 231,576 orang dengan keluasan 679,075 hektar (99.64 peratus) sudah memperoleh pensijilan itu. – BERITA HARIAN

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close