Kerajaan tidak bercadang menerbitkan hutang luar atau nota hutang berasaskan mata wang asing untuk meraih dana suntikan fiskal langsung membiayai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan akan membiayai suntikan langsung fiskal kedua-dua pakej rangsangan dan pemulihan itu menerusi hutang domestik.
Katanya, daripada RM45 bilion itu, hanya RM35 bilion akan dipinjam daripada pasaran domestik.
“Kecairan dalam pasaran tempatan kukuh dan tidak perlu pinjam dalam mata wang asing.
“Kita mempunyai keupayaan dan lagipun pinjaman kini lebih murah dengan kadar faedah yang rendah,” katanya pada sidang media selepas melawat ibu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini.
Hadir sama Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias. – BERITA HARIAN ONLINE
