Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah membantu pengusaha mikro dan golongan B40 di wilayah itu untuk mengharungi kesan ekonomi akibat penularan COVID-19 dan untuk menyesuaikan perniagaan mereka dengan kebiasaan baharu.
Antara inisiatif utama yang dilaksanakan oleh ECERDC adalah program latihan dan meningkatkan kemahiran bagi kumpulan sasaran untuk memasarkan perniagaan mereka secara dalam talian.
Ketua Pegawai Eksekutif Baidzawi Che Mat berkata agensi itu juga melancarkan program bantuan COVID-19 dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor, serta rakan strategik dan institusi kewangan bagi mengurangkan kesan kewangan krisis global.
“Kesejahteraan dan kebajikan rakyat di bawah ECER tetap menjadi keutamaan kami. Wabak COVID-19 telah memberi kesan buruk kepada semua orang terutamanya golongan B40 di wilayah ini kerana kebanyakan mereka mempunyai pendedahan dan pengetahuan cetek mengenai ekonomi digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baidzawi berkata keadaan semasa menunjukkan betapa pentingnya pendigitalan kerana banyak perniagaan beralih kepada model perniagaan secara dalam talian untuk bertahan.
“Kami meningkatkan usaha kami untuk menyediakan orang ramai dengan peralatan, kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menyesuaikan perniagaan mereka termasuk pekerjaan dengan model secara dalam talian agar mereka dapat terus memperoleh pendapatan pada waktu mencabar ini,” katanya.
Beliau berkata agensi itu telah membantu usahawan ECER untuk meningkatkan jualan mereka walaupun semasa sekatan pergerakan dengan menjual produk menerusi platform dalam talian seperti Shopee dan Lazada.
“Kami juga telah melakukan pendaftaran terhadap usahawan di lima daerah di Kelantan (Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Mas, Machang dan Ketereh) dengan Odamakan@ECER, sebuah kedai makanan sohor kini dalam talian di mana pelanggan dapat memesan makanan kegemaran mereka dan menghantarnya terus ke rumah mereka,” katanya.
Beliau berkata para peserta adalah usahawan makanan yang menjalan operasi dari rumah, pemilik restoran dan pengusaha gerai. – BERNAMA