MalaysiaPilihan EditorTurun Naik

COVID-19, Status Sosioekonomi dan Kesihatan Mental Rakyat – EMIR Research

Oleh Jamari Mohtar & Tam Mei Si

 

Masalah kesihatan mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua yang paling serius selepas penyakit jantung bagi rakyat Malaysia.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) terkini, tiga daripada setiap 10 orang dewasa yang berusia 16 tahun dan ke atas dalam negara kita akan menderita masalah kesihatan mental.

Dapatan itu dikukuhkan lagi apabila talian hotline yang disediakan oleh Mercy Malaysia dan Pusat Kesiapsiagaan Dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan bagi sesiapa yang terjejas dengan wabak COVID-19 menunjukkan 46.8 peratus panggilan adalah daripada mereka yang mempunyai masalah psikologi.

Lebih RM14 bilion dibelanja

Apa yang gagal ditanggapi oleh kebanyakan orang ialah kesan masalah kesihatan mental mempunyai impak kepada prestasi ekonomi negara.

Isu kesihatan mental di tempat kerja dianggarkan menelan belanja RM14.46 bilion pada 2018.

Semua ini sejajar dengan penemuan Kaji Selidik EMIR Research untuk suku ketiga 2020 yang menunjukkan 72 peratus rakyat Malaysia bimbang mengenai kesihatan mental mereka.

Kajian yang sama mendapati Malaysia mencapai skor 0.79 dalam Indeks Kerisauan Nasional (NWI). Angka ini melangkah ke tahap kebimbangan maksimum, hanya satu takuk di bawah tahap tidak sihat 0.80 kebimbangan maksimum.

Oleh itu, kita dapat merumuskan perasaan bimbang terhadap masalah sosio-ekonomi yang disebabkan oleh kebimbangan berkaitan pandemik COVID-19 bagi purata rakyat Malaysia kian meruncing.

COVID-19, PKP timbulkan kegelisahan

Kesan pandemik COVID-19 telah menembusi setiap lapisan masyarakat dari semua sudut yang boleh difikirkan.

Walaupun tujuan sekatan pergerakan sosial adalah untuk melindungi rakyat kita daripada jangkitan, tetapi ia secara tidak sengaja telah membawa risiko memburukkan lagi kesihatan mental rakyat.

Banyak perniagaan yang dikira tidak penting perlu berhenti operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac lalu telah menyebabkan ramai diberhentikan kerja dan hilang punca pendapatan.

Orang yang menganggur akan berasa tidak yakin dan selamat, yang akhirnya akan menjejas kesihatan mental mereka dan menyebabkan kemurungan atau kegelisahan.

Selain itu, PKP juga memberi impak negatif kepada mereka orang yang telah menghidap penyakit mental yang teruk.

Disebabkan kebimbangan, ketakutan dan gangguan sosial terhadap pandemik, penyakit mental mereka berisiko tinggi untuk berulang lagi.

PKP juga memaksa orang ramai mematuhi penjarakan fizikal dan sosial untuk mengelakkan jangkitan, jadi mereka perlu tinggal di rumah dalam tempoh yang lebih panjang.

Sekiranya seseorang sudah hidup dalam persekitaran rumah yang toksik, menghabiskan lebih banyak masa di rumah boleh membawa kepada tekanan hidup yang akan menyebabkan masalah kesihatan mental.

Tambahan pula, tinjauan YouGov Omnibus pada 2019 menunjukkan lebih 36 peratus wanita Malaysia mengalami gangguan seksual.

Menurut Dr Colleen Cullen, psikologi klinikal berlesen, gangguan seksual sering mencetuskan kegelisahan, kemurungan dan juga gangguan tekanan pasca trauma (PTSD).

Sementelah lagi, satu kajian yang diterbitkan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati golongan berpendapatan rendah mempunyai kadar masalah kesihatan mental dan penyakit kronik yang lebih tinggi.

Tren serupa juga didapati dalam data kesihatan mental dalam kajian oleh Ketidaksamaan Sosial dan Kesihatan Malaysia.

Golongan berpendapatan paling rendah mempunyai kadar masalah kesihatan mental tertinggi dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak.

Kawal diri dengan aktiviti sihat

Walaupun ia perkara biasa untuk berasa tertekan, terharu dan gugup semasa pandemik COVID-19, individu dan keluarga yang berasa tertekan atau menghadapi masalah kesihatan mental boleh cuba mendapatkan tidur yang cukup, sentiasa mengambil bahagian dalam aktiviti sukan, makan makanan yang berkhasiat dan mengelakkan merokok, meminum alkohol dan penyalahgunaan dadah.

Dengan strategi penjagaan kendiri ini yang sangat penting untuk kesihatan fizikal dan mental, seseorang dapat mengawal dengan baik hidupnya.

Sentiasa melakukan sesuatu dengan aktiviti media sosial berkurangan boleh mengalihkan perhatian daripada pemikiran negatif yang dapat menyebabkan kemurungan dan kegelisahan.

Amalan meditasi juga boleh membantu untuk bertenang dalam menghadapi ribut emosi.

Dalam kita berdepan dengan pelbagai masalah, tumpuan harus diberi kepada apa yang boleh kita ubah, menerima apa yang kita tidak boleh mengawal, kekal positif sepanjang masa dan berusaha untuk hidup mengikut nilai-nilai yang kita pegang.

Peranan majikan

Sementara itu, majikan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kesihatan mental pekerja mereka adalah seimbang kerana kebanyakan orang menghabiskan satu pertiga hari dengan perkerjaan mereka.

Majikan boleh memberikan sokongan melalui program seperti membenarkan percutian, menyokong aktiviti sosial maya, menggalakkan keseimbangan kerja-kehidupan dan sebagainya untuk memastikan pekerja mereka sihat dari segi fizikal dan mental.

Mereka juga harus mewujudkan sekitaran bekerja yang sihat dan menyediakan khidmat kaunseling untuk pekerja mereka membincangkan sebarang masalah dan menyelesaikan masalah atau mencari cara yang lebih baik untuk menguruskannya.

Ini tentu akan meningkatkan produktiviti pekerja dan mengurangkan kos berkaitan dengan ketidakhadiran, pampasan dan tuntutan perubatan.

Terdapat juga keperluan untuk mengekalkan komunikasi antara majikan dengan pekerja untuk meningkatkan persefahaman.

Apabila pekerja mengalami tekanan atau kecewa, majikan perlu mengamalkan kemahiran mendengar yang baik.

Pertingkat khidmat kesihatan mental

Negara kita kekurangan yang agak ketara ahli psikologi klinikal, lantaran itu hanya sedikit orang mendapat khidmat kesihatan mental yang disediakan kerajaan.

Pakar kesihatan mental di hospital kerajaan juga terhad.

Angka ini sangat rendah, dengan hanya seorang pakar psikiatri bagi setiap 100,000 orang, dengan perkhidmatan kesihatan awam menggajikan hanya 15 pakar psikologi klinikal pada 2018.

Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan sumber daya manusia, termasuk para profesional dari bidang akademik atau klinikal dan keupayaan infrastruktur untuk memenuhi keperluan masa depan.

Kerajaan boleh membina rangkaian kesihatan mental yang lebih baik dalam masyarakat, menjalankan kerja-kerja pemulihan dan pencegahan komuniti, dan meningkatkan keupayaan pesakit untuk kembali kepada masyarakat.

Contohnya, bilangan klinik kesihatan dan pasukan mudah alih untuk menawarkan perkhidmatan berasaskan rumah kepada pesakit kesihatan mental perlu ditambah.

Di samping itu, kerajaan juga perlu memperkukuhkan perkhidmatan kaunseling dalam talian dengan mewujudkan pusat krisis akut 24 jam yang lebih bersepadu yang dapat berkomunikasi secara langsung dengan perkhidmatan kesihatan mental serantau.

Ini termasuk meningkatkan akses dari kawasan terpencil dengan merapatkan jurang perkhidmatan. — BERNAMA

 

  • Penulis merupakan sebahagian daripada kumpulan penyelidikan di EMIR Research, sebuah badan pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close