Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon doa supaya Allah terus membimbing setiap langkahnya dan mengurniakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan ketika mentadbir Johor selepas ini.
Beliau turut berdoa supaya Allah menetapkan hatinya untuk sentiasa berlaku adil, amanah dan ikhlas dalam memikul tanggungjawab yang diberikan sebagai Menteri Besar untuk penggal yang kedua itu.
“Saya sedar bahawa setiap keputusan yang akan dibuat selepas ini akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan rakyat Johor.
“Saya juga memohon doa daripada seluruh rakyat Johor supaya Allah terus memimpin dan mempermudahkan segala urusan kami sebagai pemimpin.
Semoga setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan integriti. Semoga setiap keputusan yang dibuat sentiasa mendapat petunjuk dan keredaan-Nya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor di Balai Mengadap Istana Bukit Serene di sini, hari ini.
Pada istiadat itu, Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan sebelum melafazkan sumpah menyandang jawatan Menteri Besar Johor.
The Royal Johor dalam satu kenyataan berkata, istiadat itu dimulakan dengan bacaan Surat Tauliah Menteri Besar Johor oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli,
Onn Hafiz mewakili BN berjaya mempertahankan kerusi Machap dengan majoriti 15,375 undi, mengenepikan cabaran lawannya dari Pakatan Harapan (PH), Nur Hafiz Roslan dalam saingan satu lawan satu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, BN berjaya membentuk kerajaan selepas meraih 48 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada keseluruhan 56 kerusi yang dipertandingkan.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, turut menjunjung kasih ke atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi lantikan semula sebagai Menteri Besar.
“Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan baginda terhadap lantikan patik sebagai Menteri Besar Johor.
“Patik juga dengan penuh takzim merafakkan sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas limpah perkenan serta kepercayaan yang diberikan kepada patik untuk terus memikul amanah sebagai Menteri Besar Johor.
“Patik akan terus melaksanakan amanah ini dengan penuh taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya. – BH ONLINE




