MalaysiaPilihan Editor

Kes Bicara Ahmad Zahid: Pengarah Syarikat Akui Sumbangan RM6.6 Juta Bukan Rasuah, Tapi Kerja Amal

Pengarah syarikat MTM Network Sdn Bhd bersetuju bahawa sumbangan RM6.6 juta kepada Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui beberapa keping cek yang dibuatnya bukan rasuah tetapi adalah untuk kerja amal.

Ng Hong Sing, 56 turut bersetuju dengan peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal bahawa Ahmad Zahid tidak menjanjikan apa-apa (projek) daripada sumbangan tersebut dan tidak mendapat apa-apa pulangan sehingga kini.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ke-26 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid.

Menurut Ng yang juga saksi pendakwaan ke-79 beliau meminta kawannya yang mengenali seorang lelaki bernama ‘Datuk Ruzi’ yang merupakan orang kuat Bagan Datuk, Perak dan juga kepada tertuduh untuk diperkenalkan kepadanya.

“Pada bulan Januari 2016 Datuk Ruzi memberitahu kepada saya bahawa dia boleh memperkenalkan saya kepada tertuduh, namun saya harus memberikan sedikit sumbangan kepada Yayasan Akalbudi bagi mendapatkan kerja,” katanya.

Katanya selepas seminggu, beliau dan Datuk Ruzi ke rumah tertuduh dan beliau memberitahu Datuk Ruzi bahawa beliau hanya boleh memberi sumbangan RM3 juta.

“Selepas tiba di rumah tertuduh, saya mendapati ada ramai orang lain menunggu untuk berjumpa tertuduh. Saya telah masuk ke rumah tertuduh bersama Datuk Ruzi. Setelah Datuk Ruzi memperkenalkan saya kepada tertuduh beliau terus keluar dan meninggalkan saya dengan tertuduh.

“Semasa bersama dengan tertuduh, beliau mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sudi memberi sumbangan kepada Yayasan Akalbudi.

“Saya juga memberitahu tertuduh bahawa saya akan memberi sumbangan kepada yayasan itu sebanyak RM3 juta. Tertuduh juga memberitahu saya bahawa urusan selebihnya, saya boleh berhubung dengan Datuk Ruzi,” katanya dan menambah pertemuan tersebut berlaku lebih kurang lima hingga enam minit.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UMNO Online

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close