Duniaku TeknokratPilihan Editor

Khazanah Sah Jual Iskandar Malaysia Studios Kepada SMS

Khazanah Nasional Bhd menjelaskan syarikat tujuan khas milik penuhnya, Granatum Ventures Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jualan saham definitif bagi menjual saham dalam Iskandar Malaysia Studios Sdn Bhd (IMS) kepada Studio Management Services Sdn Bhd (SMS).

SMS adalah konsortium yang diketuai oleh pasukan pengurusan Malaysia semasa IMS dengan kerjasama pemain serantau, GHY Culture & Media Holding Co, Ltd dan anak syarikatnya, GHY Culture & Media (Malaysia) Sdn Bhd (GHY Group).

Penjualan itu adalah untuk kepentingan 100 peratus dalam syarikat pengendali, IMS yang memajak tanah di mana premis studio terletak daripada Tanjung Bidara Ventures Sdn Bhd, syarikat tujuan khas milik penuh Khazanah.

Sayap pelaburan kerajaan Malaysia itu dalam satu kenyataan, berkata penyelesaian transaksi itu sedang menunggu syarat dipenuhi.

Katanya, kerjasama dan kemasukan usahawan Malaysia dan rakan kongsi serantau yang berkebolehan akan memangkin pertumbuhan dan pembangunan ekosistem selanjutnya dalam IMS.

Khazanah berkata demikian bagi merujuk kepada laporan media dan media sosial baru-baru ini dan menjelaskan penjualan saham dalam IMS, syarikat pengendali Iskandar Malaysia Studios yang berpangkalan di Johor Bahru, Malaysia.

Mengulas lanjut, Khazanah berkata, SMS dijangka akan meningkatkan lagi perkhidmatan yang disediakan oleh Iskandar Malaysia Studios kepada industri, serta memudahkan perkongsian masa depan dan peluang penerbitan untuk Malaysia.

Sayap pelaburan kerajaan Malaysia itu menegaskan ia kekal komited dalam mengekalkan faedah limpahan ekonomi yang positif ke atas sosial ekonomi sambil menyelaraskan keperluan strategiknya untuk memajukan Malaysia, memastikan penciptaan nilai, pembinaan kapasiti dan impak masyarakat kepada negara.

Baru-baru ini media melaporkan bahawa GHY Culture & Media, syarikat Singapura yang mengkhusus dalam kandungan bahasa Cina, mengumumkan bahawa ia telah membeli 80 peratus pegangan dalam SMS, syarikat perantara, dengan harga AS$2 juta (RM8.81 juta).

GHY dan SMS kemudiannya mesti membelanjakan AS$6 juta lagi (RM26.42 juta) untuk membeli 100 peratus IMS daripada Granatum Ventures, yang mana secara keseluruhan berjumlah AS$8 juta (RM35.22 juta).

GHY Culture & Media berkata, berdasarkan akaun diaudit IMS bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, nilai aset bersih IMS adalah kira-kira RM32 juta.

Penilaian itu dilaporkan lebih rendah berbanding pelaburan yang diperlukan bagi membuka IMS pada 2014 sekitar AS$120 juta hingga AS$170 juta. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close