MalaysiaPilihan Editor

Lebih Mudah Keluarkan KWSP Secara Terus – bekas Menteri Kewangan II

Lebih mudah membenarkan orang ramai mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berbanding menggunakannya sebagai sandaran permohonan pinjaman, demikian kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Namun, bekas Menteri Kewangan Kedua itu menegaskan, pengeluaran secara terus itu hanya dibenarkan bagi mereka yang memerlukan dana untuk kecemasan seperti membayar perbelanjaan kesihatan atau pendidikan.

Jelasnya, dengan menggunakan simpanan KWSP sebagai sokongan permohonan pinjaman, peminjam akan dibebani dengan bayaran faedah yang dikenakan ke atas pinjaman.

Malah, katanya, skim itu juga boleh menyebabkan masalah kepada bank kerana proses berkenaan memerlukan semakan kredit dan penyediaan perjanjian undang-undang.

Kerajaan telah mengumumkan bahawa ahli KWSP akan dibenarkan menggunakan simpanan dalam Akaun 2 mereka untuk menyokong permohonan pinjaman bank.

Ia adalah penyelesaian alternatif kepada gesaan daripada pembangkang dan pelbagai kumpulan agar kerajaan membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran KWSP.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, tindakan pentadbiran sebelum ini membenarkan pengeluaran simpanan KWSP secara menyeluruh ketika pandemik mempunyai akibat yang serius.

Pertama, beliau berkata, pengeluaran itu menyaksikan KWSP terpaksa mencairkan pelaburan jangka panjang, menjejaskan keupayaannya menjana pulangan.

“Tinjauan pelaburan KWSP adalah berdasarkan jangka panjang. Ia akan mengira bilangan ahli yang akan bersara dalam tempoh tertentu, dan mencairkan sewajarnya,” katanya.

Johari menjelaskan bahawa pengeluaran secara tiba-tiba oleh ahli KWSP akan mengganggu pelaburan dana persaraan yang akan menjejaskan pulangan masa depannya.

Kedua, katanya, membenarkan mereka yang tidak terjejas oleh pandemik mengeluarkan KWSP mereka adalah salah satu faktor yang membawa kepada inflasi.

Akibatnya, RM145 bilion yang dikeluarkan daripada KWSP ketika pandemik COVID-19 membawa kepada kemasukan wang dalam pasaran dan mengakibatkan inflasi.

Kadar inflasi Malaysia meningkat daripada 1.14 peratus pada 2020 kepada 3.23 peratus pada 2022 apabila negara memansuhkan sekatan COVID-19.

Inflasi itu ditambah dengan moratorium pinjaman secara pukal, kata Johari. – UTUSAN MALAYSIA/BH ONLINE/GRAFIC PIC AGENDA DAILY/BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close