Duniaku TeknokratPilihan Editor

Simpanan 3.6 Juta Ahli KWSP Kurang RM1,000

Seramai 3.6 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) direkodkan mempunyai simpanan kurang RM1,000, manakala 6.1 juta lagi kurang RM10,000.

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Pandan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata punca utama keadaan itu adalah berikutan pengeluaran bernilai RM101 bilion susulan inisiatif i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra akibat pandemik COVID-19.

Katanya, penyusutan jumlah simpanan itu lebih merisaukan bagi pencarum Bumiputera yang mewakili 78 peratus atau lebih tiga perempat yang memohon untuk fasiliti pengeluaran berkenaan.

Berikutan itu, seramai 4.4 juta atau 54 peratus pencarum Bumiputera kini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, manakala dua juta atau 25 peratus lagi mempunyai kurang daripada RM1,000.

“Pengagihan simpanan sudah menjadi semakin tidak saksama. Kumpulan 40 peratus terbawah ahli KWSP, merangkumi lebih kurang lima juta ahli menyaksikan simpanan mereka jatuh sebanyak 38 peratus kepada hanya RM8 bilion, menjadikan baki simpanan median sebanyak RM1,005.

“Kumpulan 40 peratus pertengahan juga mengalami kejatuhan sebanyak 18 peratus kepada RM155 bilion atau baki median RM24,995.

“Hanya kumpulan 20 peratus teratas berusia bawah 55 tahun menyaksikan kenaikan dalam simpanan, namun ini mencapai median berjumlah RM152,043 atau bersamaan dengan hanya RM633 sebulan untuk 20 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara empat hingga enam tahun secara tambahan bagi membina semula simpanan dikeluarkan semasa pandemik.

Ini juga mengakibatkan kejatuhan ketara dalam peratusan ahli mencapai simpanan asas iaitu RM240,000 pada usia 55 tahun kepada kira-kira 27 peratus hujung tahun ini, berbanding 36 peratus pada tahun lalu.

“Kerajaan bersama KWSP sedang berusaha membantu ahli membina semula simpanan mereka demi masa depan persaraan.

“Pendirian kerajaan kekal dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial untuk Keluarga Malaysia, termasuk melalui kesinambungan insentif i-Saraan dan Kasih Suri Keluarga Malaysia seperti diumumkan dalam Bajet 2020.

“Tambahan, dalam memperkasa agenda perlindungan sosial, Majlis Perlindungan Sosial Malaysia dipengerusikan Perdana Menteri, kini sedang mengkaji pembaharuan asas kepada sistem perlindungan sosial negara,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close