MalaysiaPilihan Editor

Kolej Tingkatan Enam Kini Dikenali Sebagai Kolej Pra-Universiti KPM

Kementerian Pendidikan (KPM) membuat penjenamaan semula beberapa istilah dalam sistem pendidikan Tingkatan Enam berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata Kolej Tingkatan Enam kini dikenali sebagai Kolej Pra-Universiti KPM dengan jawatan pengetua akan ditukarkan kepada pengarah.

Penjenamaan semula itu turut menyaksikan perubahan bagi istilah guru penolong kanan kepada timbalan pengarah, manakala guru kepada pensyarah dan murid menjadi pelajar.

Menerusi proses sama, katanya, pengarah Kolej Pra-Universiti diberi autonomi bagi pengambilan pelajar Tingkatan Enam secara terus, sekiranya masih terdapat kekosongan.

“Justeru, KPM merangka strategi bagi pemberian autonomi kepada Pengetua Pusat Tingkatan Enam bagi pengambilan pelajar, sekiranya masih terdapat kekosongan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ‘Malaysian University English Test’ (MUET) serta Ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2022 hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Pkharuddin Ghazali.

Hadir sama Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Adnan Husin dan Pengerusi MPM merangkap Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Fadhlina berkata, KPM juga sedang meneliti laluan khas bagi meningkatkan bilangan guru cemerlang Tingkatan Enam yang ketika ini direkodkan seramai 60 orang atau 0.5 peratus daripada keseluruhan guru akademik Tingkatan Enam.

“Dalam usaha meningkatkan kualiti profesionalisme guru akademik Tingkatan Enam, KPM akan menyediakan laluan khas bagi guru cemerlang Tingkatan Enam.

“Ke arah ini, KPM akan meneliti semula instrumen penilaian guru cemerlang Tingkatan Enam,” katanya yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal.

Bercakap pada sidang media, Fadhlina berkata, penjenamaan semula istilah guru akademik Tingkatan Enam kepada pensyarah tidak membabitkan perubahan gred perjawatan mahupun kelayakan akademik.

Selain itu, katanya, pembaharuan berkenaan bertujuan memberi hala tuju dan imej lebih prestij kepada Tingkatan Enam, selain setiap fasiliti, infrastruktur dan keperluan Tingkatan Enam akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

67 peratus lepasan SPM sah kemasukan ke Tingkatan Enam

Beliau turut memaklumkan, 67 peratus daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini sudah mengesahkan kemasukan ke Tingkatan Enam.

“Kita masih buka lagi kepada mana-mana pihak yang berhasrat masuk ke Tingkatan Enam untuk sama-sama memohon bagi memenuhi kuota.

“Malah, kadar kemasukan ke universiti dalam kalangan lepasan STPM sangat tinggi iaitu 90 peratus. Maknanya mereka boleh masuk ke universiti dengan penguasaan cukup tinggi, bukan sahaja di bidang akademik dan sahsiah tetapi kelayakannya membolehkan mereka memenuhi merit untuk ke universiti,” katanya.

Mengenai autonomi kepada Pengarah Kolej Pra-Universiti KPM, beliau berkata, ia bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian institusi di bawah KPM, selain mengurangkan kadar keciciran, sekiranya ada.

“Mereka ini yang dikenal pasti, seharusnya mempunyai peluang menyambung pengajian tetapi tidak memiliki akses dan tak tahu mahu ke mana. Justeru, kita berikan autonomi kepada pengarah untuk kenal pasti sendiri pelajar di lokaliti masing-masing.

“Tawaran ke Tingkatan Enam sebelum ini, melalui KPM dan mungkin kita terlepas pandang. Mungkin ada yang berpotensi dan mahu menyambung pengajian tetapi tiada peluang.

“Jadi inilah peluang paling efektif dan efisyen untuk memberi ruang kepada mereka melanjutkan pengajian,” katanya.

30,000 lepasan SPM tercicir sudah dikenal pasti

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, KPM sudah mengenal pasti 10,000 daripada hampir 30,000 lepasan SPM yang dikenal pasti berdepan masalah keciciran.

“Kita sudah pun kenal pasti, 10,000 daripada mereka membuat permohonan mengulang SPM dan 20,000 lagi sedang dikenal pasti untuk mendapatkan maklumat penuh di mana mereka berada.

“10,000 ini terdiri daripada lepasan SPM daripada pelbagai tahun. Usaha mereka mengulang SPM menandakan mereka berhasrat menyambung pengajian dan KPM sangat mengalu-alukan hasrat mereka ini,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close